fbpx
SITI Kamsiah berkata mangsa turut terdedah kepada bahaya apabila menjadi ‘fanatik’ kepada idola mereka sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

Idola gersang makin aktif di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan antun seksual atau child grooming terhadap kanak-kanak melalui internet melibatkan golongan berpengaruh kini dilihat semakin berleluasa.

Mereka menggunakan po­pulariti di media sosial untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan daripada mangsa berusia 18 tahun ke bawah sebelum melakukan perkara yang tidak senonoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Se­nior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, lebih 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes seksual kanak-kanak yang diterima melibatkan individu berpengaruh atau mereka yang dianggap idola.

“Mereka ini mempunyai pe­ngaruh di media sosial dan menjadi idola kepada kelompok-kelompok tertentu.

“Jadi lebih mudah untuk mereka mendekati, mengeksploitasi dan mendapatkan kepercayaan daripada mangsa terutama kanak-kanak.

“Kes-kes sebegini memang semakin meningkat disebabkan idola atau mereka yang berpe­ngaruh ini tumbuh seperti cen­dawan di platform media sosial berbanding dulu,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Siti Kamsiah memberitahu, lebih parah, mangsa turut terdedah kepada bahaya apabila menjadi ‘fanatik’ kepada idola mereka sehingga sanggup melakukan apa sahaja.

“Tidak semua pempengaruh adalah pencipta kandungan di media sosial. Guru, artis, ahli sukan atau agamawan sering dijadikan idola oleh orang ramai.

“Namun, kes (child grooming) semakin menjadi-jadi dan lebih mudah berlaku melalui platform media sosial,” katanya.
Siti Kamsiah menegaskan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mempertingkatkan risikan maklumat terutama dalam mengesan aktiviti perkongsian bahan seksual dalam talian.

“Langkah ini bagi membendung aktiviti itu dinormalisasi oleh ahli masyarakat kerana capaian berterusan kepada bahan pornografi boleh membawa kepada ketagihan seksual.

“Kita juga sedang mengenal pasti ‘sarang-sarang’ mereka di internet termasuk ahli kumpulan sebelum melakukan tangkapan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menjalankan kerjasama dengan bahagian psikologi dan kriminologi sebagai usaha membina data penjenayah berasaskan tingkah laku mereka.

Kosmo! Online semalam me­laporkan seorang pempengaruh lelaki ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar mesej berbaur lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.

Lelaki berusia 22 tahun itu diberkas pada Khamis lalu selepas pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa anak gadisnya menerima mesej dan gambar berunsur seksual melalui media sosial daripada suspek.

Mengulas mengenai kes terbaharu itu, Siti Kamsiah berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Ke­salahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN