Empat hari lalu, insiden menyayat hati berlaku apabila seorang kanak-kanak berusia dua tahun dilaporkan terjatuh dari tingkat tujuh sebuah perumahan di Putrajaya.
Pelbagai andaian dan dakwaan berlegar dengan ada yang mengatakan kanak-kanak tersebut telah memanjat sofa diletakkan di koridor bangunan tersebut sebelum terjatuh.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat kemungkinan tersebut kerana terdapat percanggahan berikutan laporan menunjukkan kanak-kanak itu terjatuh dari tingkat tujuh, manakala sofa berkenaan berada di tingkat lapan.
Perit rasanya menerima berita itu, namun walau apa pun, kita mengharapkan keadilan buat kanak-kanak berkenaan. Semoga keluarganya tabah mengharungi detik sukar ini.
Kes menyayat hati ini sewajarnya membuka mata ramai pihak terutama penghuni perumahan bahawa koridor bukan tempat longgokan barang tidak ‘berharga’ untuk apa tujuan sekali pun terutama di bangunan tinggi.
Koridor adalah laluan yang menghubungkan satu bahagian dengan bahagian lain di dalam satu bangunan.
Lagi tinggi satu-satu bangunan itu, lagi berisiko jika segala barangan diletakkan di ruangan berkenaan. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku seterusnya jika tersilap langkah mampu meragut nyawa seseorang.
Sofa, rak kasut, pasu bunga dan kerusi antara barangan yang gemar diletakkan di ruangan koridor mahupun balkoni kediaman, namun kesemua ini boleh menjadi perangkap maut tanpa sedar.
Kebanyakan alasan diberikan adalah mahu menjadikan ruangan itu santai antara jiran, mencantikkan dengan meja dan pasu bunga. Kreativiti anda tepat jika diselitkan dengan penghadang keselamatan.
Jangan normalisasikan tindakan ini.
Kanak-kanak di usia dua hingga 10 tahun, mereka masih meneroka, minat bermain, memanjat dan melompat.
Kejadian malang ini bukan hanya satu berita duka tetapi peringatan besar buat kita semua.
Semua pemilik rumah terutama bangunan bertingkat diingatkan lebih berhati-hati, jangan letak perabot atau apa sahaja barangan yang boleh dipanjat di ruangan koridor, tingkap mahupun balkoni.
Sedikit perubahan yang kita lakukan di luar kotak kebiasaan mampu merubah kehidupan, mampu terus mendengar gelak tawa kanak-kanak yang tidak mengerti bahaya.
Tugas ini memerlukan kerjasama semua pihak terutama komuniti setempat, buang sahaja jika sudah buruk dan jangan disayang-sayang lagi. Kepada pihak berkuasa lakukan pemantauan, jika perlu tindakan tegas kepada yang tetap berdegil.















