BACHOK – Tindakan empat suspek memakai purdah yang menyimbah asid ke arah pemilik spa dan salun kecantikan di Beris Kubur Besar di sini, kelmarin, dipercayai telah dirancang rapi dengan mangsa sendiri menjadi sasaran utama.
Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, salah seorang suspek juga memang menyasarkan untuk menyimbah asid ke arah muka isterinya, namun berjaya dielak sebelum cecair itu terkena bahagian belakang.
Tanpa mengetahui motif sebenar serangan itu, Muhammad Syahrul percaya tindakan itu sudah dirancang apabila seorang suspek yang menyamar sebagai pelanggan sebelum ini telah bertindak memadam semua mesej perbualan dengan isterinya, Nor Faziera Muda, 27.
Tidak cukup dengan itu, serangan kelmarin bukanlah yang pertama kali berlaku apabila bahagian hadapan premis milik isterinya itu pernah disimbah asid dua minggu lalu.
Mencerita kejadian kelmarin, Muhammad Syahrul berkata, salah seorang suspek sedang memegang termos yang berisi cecair asid sebelum menyimbah ke arah mangsa.
“Memang suspek sasarkan untuk simbah asid itu ke muka isteri. Dia sempat mengelak dan cecair itu terkena bahagian belakang dan ada lebihan asid meleleh pada lengannya.
“Mengikut cerita isteri, dua suspek yang berpurdah itu berada di depan pintu dan tangan salah seorang suspek yang berada di belakang bertindak menyimbah asid itu.
“Nor Faziera terus menelefon saya memaklumkan keadaannya sebelum ada penduduk yang membawanya ke klinik kesihatan berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, isterinya tidak henti-henti menangis dan mengadu sakit akibat bahang asid itu semasa dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian malam Sabtu lalu.
Beliau berkata, sebelum ini salah seorang suspek yang menyamar sebagai pelanggan ada berhubung dengan isterinya menerusi mesej WhatsApp, namun semua perbualan itu tiba-tiba telah dipadam individu berkenaan.
Bagaimanapun kata Muhammad Syahrul Ikhwan, isterinya sempat membuat tangkap layar skrin perbualan dengan pelanggan yang kononnya mahu berurut di spa miliknya kira-kira pukul 8.40 malam, iaitu beberapa minit selepas kejadian itu.
Menurutnya, isterinya berbuat demikian selepas mengesyaki suspek tersebut adalah individu sama yang terlibat dalam serangan asid.
“Melalui perbualan WhatsApp itu, suspek pada awalnya membuat tempahan untuk mengurut selama tiga jam dengan bayaran RM200 di spa. Beberapa minit sebelum kejadian, suspek ada mesej memaklumkan dia melihat selipar lelaki di luar premis.
“Isteri memaklumkan bahawa dia ada di dalam spa dan premis itu tidak membenarkan pelanggan lelaki masuk. Selepas itu, suspek terus datang ke pintu sebelum terus menyimbah asid ke arahnya dan melarikan diri.
“Walaupun panik dan sakit, isteri saya sempat membuka perbualan WhatsApp dengan suspek dan menghantar mesej kepadanya dengan pesanan ‘Jahat mu ya’. Kurang daripada seminit kemudian, suspek memadam semua perbualan itu,” katanya.
Dalam pada itu, sumber terdekat dengan mangsa yang enggan dikenali berkata, bahagian hadapan premis milik mangsa pernah disimbah cecair hampir sama kira-kira dua minggu sebelum serangan pada Sabtu.
Ktika itu katanya, Nor Faziera sempat berpesan kepada orang ramai termasuk rakan-rakan wanita agar berhati-hati dengan kejadian itu.
“Adat berniaga. Mungkin ada yang tidak senang dengannya, tetapi tidak sangka pula sampai sanggup ada yang menyimbah asid.
“Setahu saya, Nor Faziera tiada musuh dalam perniagaan. Berkemungkinan ada yang tidak senang dengannya,” katanya.
Seorang lagi rakan mangsa dikenali Ernie, 52, berkata, Nor Faziera merupakan seorang yang peramah dan baik dengan rakan-rakan atau pelanggannya selain disenangi oleh masyarakat sekitar.
“Setahu saya, dia tiada musuh dalam perniagaan kerana mempunyai hubungan rapat dengan ahli Persatuan Spa Kelantan (Puspak). Saya juga mengenalinya kira-kira lima tahun lalu melalui Puspak, malah Nor Faziera kini dilantik ahli jawatankuasa persatuan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang pemilik spa dan salun kecantikan parah selepas diserang empat ’pelanggan’ termasuk tiga wanita berpurdah dengan cecair asid ketika berada di premisnya di pekan Beris Kubor Besar di sini pada Sabtu lalu.
Kejadian mencemaskan pada pukul 8.30 malam itu menyebabkan mangsa berusia 27 tahun melecur di lengan dan belakang badan.
Saksi kejadian dikenali sebagai Izati, 20, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan menyuruh orang awam meng hubungi polis.














