Pastinya ramai pekerja yang berusia lewat 40an sehingga 50an dalam persekitaran pekerjaan yang semakin mencabar kini berdepan dilema dalam tugasan hariannya samada nekad mahu bersara awal atau terus kental berjuang sehinggalah mencapai usia 60 tahun.
Pelbagai faktor penyebab isu tersebut dan antaranya adalah tahap kesihatan yang kurang stabil, semakin sensitif apabila ditegur secara bersemuka atau di dalam whatsapp kumpulan kerja, tidak suka dengan suasana bising di pejabat dan tidak tahan dengan kebiadapan kakitangan muda yang tidak pandai menghormati senior.
Kos sara hidup yang semakin tinggi, beban kerja tidak setara dengan nilai gaji, tidak sanggup mengharungi kesesakan jalan raya setiap pagi dan ketika balik, sikap berpuak-puak, malah dipinggirkan di jabatan masing-masing dan bergosip di pejabat membuatkan mereka berasa tidak bersemangat lagi.
Malah, cabaran terhadap perkembangan pantas media sosial, internet, digital, kecerdasan buatan (AI), multi tasking dan juga sasaran KPI yang ditetapkan majikan membuatkan kumpulan pekerja ini makin tertekan.
Dalam senyap, ini adalah satu penyakit berbahaya yang tidak harus dibebani oleh setiap diri pekerja senior tetapi kerana sebab tersendiri yang tidak dielakkan, membuatkan ramai yang terpaksa bertahan bekerja.
Ini yang berlaku kepada beberapa rakan penulis selepas pandemik lalu yang nekad mengundur diri daripada jawatan terbaiknya dalam sektor korporat kerana tidak tahan berdepan dengan cabaran persekitaran tersebut.
Tolak tepi pendapatan yang sudah mencapai tujuh angka, kerusi empuk di pejabat dalam bangunan pintar di lokasi strategik di tengah bandar raya kerana mereka tidak mahu lagi terkesan dengan penyakit anxiety, stress melampau, darah tinggi dan sakit jantung sehingga memaksa mereka mendapatkan rawatan pakar.
Langkah berani yang diambilnya itu meskipun pedih untuk tempoh jangka pendek tetapi ia membantu menyelesaikan pelbagai masalah dan hati makin tenang.
Satu pintu rezeki tertutup, mungkin ada lagi peluang rezeki lain yang menunggu mereka selepas ini.
Bagi mereka yang berjiwa kental, teruslah berjuang melaksanakan amanah kerja yang sebaiknya, rawatilah masalah tekanan, kemurungan dan penyakit yang
dihadapi sebaiknya bukan sahaja melalui perubatan moden tetapi mohon petunjuk juga daripada yang Esa.
Jika perlu, berbuallah dengan suami, isteri, ahli keluarga yang memahami masalah anda dan berjumpa dengan pakar jika perlu.
Anda tidak boleh bertindak secara sendirian, perlu ada strategi untuk menghadapinya dan jangan sekali kali mencari pilihan alternatif mengambil ubat tidur, ubat penenang yang boleh memberi kesan kepada kesihatan diri.
Pulihkan diri dengan sebaiknya kerana masih ada lagi syarikat yang mahu mengekalkan pekerja berpengalaman, berkemahiran, berjaya memimpin kumpulan, memberi tunjuk ajar dan cekap mengendalikan kerenah pelanggan.
Bagi majikan pula, terus hargai mereka, jangan dipersiakan bakat, ilmu, kemahiran dan komitmen yang dicurahkan mereka kepada syarikat selama ini.














