KUANTAN – Seorang pemuda tidak menyangka tindakan sahabat karibnya membuat pesanan barang dalam talian untuknya selepas merancang bercuti menjadi petanda lelaki itu akan pergi selamanya akibat lemas di Pasir Puteri Sungai Lembing di sini.
Mohamad Faisal Abdullah, 30, berkata, dia berasa terkejut apabila arwah Wan Izani Wan Mohd Samsudin, 29, yang merancang percutian ke Terengganu tidak membuat pesanan barang untuk diri sendiri, sebaliknya untuk diberikan kepadanya.
“Arwah merancang untuk bercuti ke Pulau Redang. Dia sudah membeli pakaian, beg dan kasut, tetapi barangan itu belum sampai. Dia sempat pesan, semua (barangan) itu bukan untuknya, tetapi untuk saya.
“Masa itu saya tak perasan perubahannya, tetapi selepas kejadian (lemas) tersebut, baru saya teringat akan kata-katanya,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Wan Izani yang dihanyutkan arus deras ketika berkelah di Pasir Puteri kelmarin ditemukan lemas pada pukul 10 pagi tadi kira-kira 12 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mohamad Faisal berkata, sejak dua minggu lalu, arwah berubah sikap apabila banyak mendiamkan diri, malah sebelum pulang ke kampung di Machang, Kelantan, pemuda itu sempat berpelukan dengan ibunya sambil menangis.
Bercerita lanjut mengenai arwah Wan Izani, Mohamad Faisal menyifatkan rakannya itu seorang yang baik hati dan dianggap seperti darah daging sendiri.
“Susah nak jumpa orang seperti dia, tidak pernah berkira. Saya anggap seperti keluarga sendiri. Malah, dia juga anggap ibu saya seperti ibunya sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE