fbpx

‘Saya hidap skoliosis, lutut pun macam orang tua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alya kini menyerlah dengan karakter bernama Elina menerusi naskhah terbaharu terbitan Viu Malaysia berjudul Pabila Dia Tersenyum. – NAIM HELMI

NAMA Alya Iman tidak pernah lekang daripada kontroversi sejak berjinak-jinak dalam dunia peragaan hingga bergelar pelakon.

Meskipun begitu, dia enggan mengendahkan cakap belakang sebaliknya lebih memandang ke hadapan untuk mengukuhkan kerjaya seni.

Bakat lakonan yang dipercayai diturunkan bapanya, Allahyarham Azmil Mustapha benar-benar membawa hasil apabila dia berjaya meneruskan legasi.

Lebih bergiat aktif dalam dunia lakonan sejak kebelakangan ini, pemilik nama lengkap Nur Alya Iman Azmil itu meluahkan keinginannya untuk berlakon dalam karya aksi.

Bagaimanapun, impiannya agak terbatas dek mempunyai sakit belakang dan lutut yang membuatkan pergerakannya terbatas.

Demi mencabar diri, Alya mendambakan watak aksi, namun terbatas dengan kesihatan fizikal.

“Impian saya nak buat aksi tetapi saya sakit kaki dan belakang. Jadi, kena beri tumpuan untuk sembuhkan dahulu.

“Saya ada penyakit skoliosis dan lutut tak berapa kuat. Saya sakit sebab jatuh kuda masa kecil.

“Sakit lutut itu mungkin juga ada kaitan dengan sakit belakang. Gel pada lutut saya hilang seperti orang tua,” katanya kepada HibGlam.

Meskipun terbatas, wanita berusia 24 tahun itu tetap berdegil untuk membawakan watak aksi dan mengakui sering melakukan rawatan pemulihan berkala bagi masalah meredakan dihadapi.

“Kalau ada watak kena buat aksi, saya akan tetap buat dan tidak kisah pun sakit.

“Boleh buat aksi cuma kena pergi fisiologi dan tubuh badan kena ‘fit’.

“Saya buat rawatan dan pergi kiropraktik tetapi tak berani nak buat pembedahan,” ujarnya.

Kata Alya, antara babak mencabar dirinya sebagai seorang pelakon adalah adegan menitiskan air mata

Bukan skrip tipikal

Dalam perkembangan lain, Alya kini membintangi drama Viu berjudul Pabila Dia Tersenyum yang membawakan watak Elina iaitu seorang wanita yang kehilangan bapanya sejak kecil.

Katanya, dia teruja apabila menerima skrip sehingga sanggup tahan mata untuk menelaah sepanjang malam.

“Masa dapat skrip, saya baca sepanjang malam sebab terlalu teruja. Ini bukan skrip ‘typical’ (biasa).

“Bukan cerita cinta, saya teruja bawakan (watak) Elina sebab sangat mencabar. Terlalu banyak emosi dan saya kena keluar dari zon selesa.

“Dalam masa sama, takut juga nak bawa watak Eliana sebab cerita tentang kehidupan. Banyak sangat sebenarnya terjadi dalam dunia,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Alya berharap watak Elina sedikit sebanyak membantu wanita di luar sana untuk menjadi lebih kuat.

Tiga tunggak utama drama Pabila Dia Tersenyum iaitu Amir Ahnaf (kiri sekali), Alya dan Adam Lee.

Trauma

Malah, karakter itu juga membuatkan dia mengingat kembali trauma yang pernah dilalui dalam kehidupan.

“Saya juga nak sampaikan mesej bahawa wanita tak selamanya lemah. Mereka akan pertahankan diri sendiri.

“Cerita ini berat sebab banyak menangis. Awal-awal dulu, saya susah sangat nak menitiskan air mata tapi ini kerja saya, jadi banyak saya belajar dari karakter itu.

“Cuma ada beberapa bahagian yang buat saya imbas kembali trauma dalam hidup saya juga yang agak menyeramkan,” jelasnya.

Kongsinya lagi, watak Elina lebih dekat dengan dirinya yang kehilangan bapa sejak 2018.

“Apabila buat watak menangis, saya terbawa sampai rumah.

“Ada satu babak, Eliana cakap ‘kenapa bapa dah tak ada dan kena hadap semua seorang diri.’ Saya terkesan dengan dialog itu sebab mencerminkan diri saya,” tuturnya.

Drama romantik dan kekeluargaan 15 episod ini diadaptasi daripada novel karya Liza Nur mula ditayangkan pada 24 April 2025 setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu di Viu.

Pabila Dia Tersenyum mengisahkan kesukaran yang dilalui Elina akibat satu sindiket pelacuran.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI