SEREMBAN – Sebuah keluarga berdepan ujian getir apabila terpaksa menjadikan keretanya sebagai ‘rumah’ untuk berlindung selepas tidak mampu membayar sewa rumah akibat hilang punca pendapatan.
Lebih menyedihkan keadaan itu berlaku pada bulan Ramadan dengan lima beranak berkenaan terpaksa tinggal di dalam kereta selama lima hari.
Menurut bapa kepada tiga anak yang ingin dikenali sebagai Mohd., 33, dia tidak mempunyai pilihan lain selepas diberhentikan kerja awal Mac lalu setelah majikan mengetahui dirinya seorang bekas banduan.
“Keadaan itu menyebabkan sumber pendapatan terjejas sekali gus menyukarkan saya untuk membayar sewa rumah.
“Selama lima hari saya bersama isteri dan anak-anak terpaksa tidur dalam kereta. Paling menyedihkan apabila melihat anak-anak keletihan, namun kami cuba kuat demi mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Mohd. yang juga bekas anggota tentera berkata, sepanjang tempoh tersebut, dia dan isteri Halina, 31, serta tiga anaknya yang berusia 4, 3 dan setahun akan mandi di stesen minyak dan berehat di kawasan selamat tanpa disedari orang ramai.
Lelaki itu memberitahu, hasil saranan daripada isterinya agar memohon bantuan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), mereka kini mempunyai kediaman sementara dan bantuan kewangan.
Katanya, antara bantuan diterima termasuk bantuan bulanan sebanyak RM540, barangan keperluan bernilai RM100 dari kedai panel serta bantuan tambahan sempena Ramadan RM300 dan Aidilfitri sebanyak RM700.
“Dengan tiga anak yang masih kecil, perbelanjaan bulanan terutama untuk susu dan lampin pakai buang mencecah hampir RM900. Harapan saya agar dapat pekerjaan yang stabil bagi meneruskan kehidupan.
“Kalau dapat rumah sewa sebelum raya dan kerja berdekatan pun sudah cukup besar maknanya buat kami. Raya tahun ini kami dahulukan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Halina berkata, Aidilfitri kali ini juga mengingatkan dirinya dan suami tradisi membuat lemang setiap kali menjelang raya.
“Suami memang pandai buat lemang. Dulu setiap kali raya ada suasana itu, tetapi tahun ini mungkin tidak dapat dirasai seperti biasa.
“Sedih memang sedih, tetapi kami percaya ini ujian. Demi anak-anak kami akan terus berusaha bangkit semula,” katanya.














