Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam di seluruh dunia selepas menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.
Ia perlu disambut dengan adab yang tidak bertentangan dengan syarak.
Persoalan yang timbul adalah adakah ia disambut sehari atau dibolehkan mengadakan sambutan Aidilfitri selama sebulan seperti yang menjadi amalan di negara ini sejak kebelakangan ini.
Selain itu, sering timbul pertanyaan adakah pemberian duit raya terutama kepada kanak-kanak menjadi satu kemestian atau hanya adat masyarakat setempat.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Noor Hasliza Nusi bersama Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman bagi mengupas persoalan tersebut dengan lebih lanjut.

Kosmo! Ahad: Apakah adab beraya atau ziarah raya yang sebenar dalam Islam?
MOHD. SUKKI: Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu amarah di sepanjang bulan Ramadan. Aidilfitri dalam Islam merupakan hari kegembiraan yang disyariatkan selepas umat Islam menyempurnakan ibadah puasa.
Hari Raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syarak, sudah tentu bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredai oleh Allah SWT.
Antara adab menyambut Aidilfitri sebagaimana digariskan oleh syarak adalah menghidupkan malam hari raya dengan melakukan amal-amal ibadah seperti mendirikan solat fardu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, serta melakukan apa jua kebaikan dan kebajikan.
Pada malam tersebut juga, hendaklah memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi. Imam al-Syafie telah menegaskan dalam kitabnya ‘al-Umm’ bahawa malam hari raya adalah antara malam yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
Kemeriahan hari raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Firman Allah SWT. yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadan (29 hari atau 30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah SWT) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah:185).
Selain itu, amalan ziarah menziarahi keluarga, sanak saudara dan sahabat handai juga termasuk dalam perkara digalakkan kerana dapat mengeratkan silaturahim.
Ucapan ini diriwayatkan diamalkan oleh para sahabat Nabi SAW menurut riwayat dalam Sunan al-Kubra al-Bayhaqi yang menunjukkan bahawa hari raya juga waktu saling mendoakan kebaikan sesama Muslim.
Apakah adab beraya kita hari ini sudah terpesong dari ajaran Islam?
Secara umumnya, sambutan hari raya dalam masyarakat Islam hari ini masih mengandungi banyak unsur yang selari dengan ajaran Islam seperti ziarah keluarga, memohon maaf dan mengeratkan silaturahim.
Namun tidak dapat dinafikan terdapat juga beberapa amalan yang mula menyimpang daripada adab sebenar yang dianjurkan oleh syariat.
Antara perkara yang sering berlaku ialah pembaziran dalam penyediaan makanan, budaya bermegah-megah dengan pakaian atau rumah serta hiburan yang melampaui batas sedangkan Islam melarang pembaziran sebagaimana firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Surah Al-Isra: 27)
Makanan, juadah dan kuih-muih boleh disediakan pada hari raya, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sederhana.
Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan kemampuan ekonomi keluarga.
Di samping itu, terdapat juga keadaan sambutan hari raya lebih tertumpu kepada aspek hiburan dan kemeriahan semata-mata sehingga melupakan tujuan asalnya iaitu mensyukuri nikmat Allah dan mengeratkan silaturahim.
Oleh itu, masyarakat Islam perlu sentiasa kembali kepada panduan syariat agar kegembiraan hari raya tidak terkeluar daripada batas yang dibenarkan.
Ramai yang menunjuk-nunjuk pemberian duit raya dalam media sosial. Adakah ia berdosa?
Memberi duit raya sebenarnya termasuk dalam bentuk sedekah atau pemberian hadiah, yang merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam kerana ia dapat menggembirakan orang lain khususnya kanak-kanak.
Namun persoalan yang timbul ialah apabila pemberian tersebut dipamerkan di media sosial sehingga menimbulkan unsur riyak atau menunjuk-nunjuk.
Islam sangat menitikberatkan keikhlasan dalam setiap amalan. Allah SWT berfirman:
“Maka sesiapa yang berharap bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia melakukan amal soleh dan tidak menyekutukan sesiapa pun dalam ibadah kepada Tuhannya.” (Surah Al-Kahf: 110)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW juga mengingatkan tentang bahaya riyak dengan sabda baginda:
“Perkara yang paling aku bimbangi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu?” Baginda menjawab: “Riyak.”
(Hadis riwayat Musnad Ahmad)
Oleh itu, jika seseorang mempamerkan pemberian duit raya dengan tujuan berbangga atau menunjuk-nunjuk, maka ia boleh termasuk dalam perbuatan riyak yang tercela.
Namun jika sekadar berkongsi kegembiraan tanpa niat bermegah-megah, maka ia tidaklah sampai kepada dosa. Bagaimanapun, sikap berhati-hati dan menjaga keikhlasan adalah lebih baik.
Afdal beraya sehari atau selama sebulan?
Daripada sudut syariat, hari raya yang disyariatkan hanya hari pertama Syawal sebagai Hari Raya Aidilfitri. Namun Islam tidak menetapkan had yang ketat mengenai tempoh ziarah-menziarahi selepas hari raya tersebut.
Para ulama menjelaskan bahawa amalan ziarah dan silaturahim boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tradisi rumah terbuka atau ziarah sepanjang bulan Syawal pada asasnya hanyalah adat masyarakat yang bertujuan memudahkan orang ramai saling berkunjung.
Hal ini selari dengan galakan Islam untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”
(Hadis riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)
Oleh itu, hari raya secara syarak hanya satu hari, tetapi ziarah dan sambutan yang berterusan sepanjang bulan Syawal adalah harus selagi tidak melibatkan perkara yang bercanggah dengan syariat.
Yang lebih penting ialah memastikan sambutan tersebut benar-benar menjadi medan untuk mengerat silaturahim, memohon maaf dan menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.
Apakah hukum seseorang yang tidak pulang beraya bersama keluarga sedangkan dia mampu untuk pulang?
Dalam Islam, pulang beraya bersama keluarga bukanlah suatu kewajipan syarak secara khusus.
Namun begitu, ia sangat digalakkan kerana berkait dengan amalan menyambung silaturahim dan berbakti kepada ibu bapa.
Jika seseorang mampu pulang tetapi sengaja tidak pulang tanpa sebab munasabah sehingga menyakiti hati ibu bapa atau menjejaskan hubungan kekeluargaan, perbuatan tersebut boleh menjadi tercela atau berdosa.
Adakah berdosa jika seseorang memilih untuk beraya di tempat yang jauh daripada keluarga tanpa sebab yang munasabah?
Memilih untuk beraya jauh daripada keluarga tanpa sebab munasabah boleh dianggap sebagai mengabaikan silaturahim.
Hal ini boleh menjadi berdosa jika menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus atau hati ahli keluarga tersakiti.
Namun, jika hubungan tetap dijaga melalui komunikasi seperti panggilan telefon atau ziarah di waktu lain, ia tidak dianggap memutuskan silaturahim.
Bilakah keadaan yang dibenarkan untuk seseorang tidak pulang beraya bersama keluarga?
Islam membenarkan seseorang tidak pulang beraya jika terdapat kekangan tertentu seperti tuntutan kerja, masalah kesihatan, kekangan kewangan, faktor keselamatan atau bencana. Dalam keadaan itu, hubungan kekeluargaan masih perlu dijaga melalui komunikasi atau kunjungan pada waktu lain.
Jika seseorang kerap tidak pulang beraya tanpa alasan yang munasabah, ia boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang.
Ibu bapa dan ahli keluarga mungkin berasa tersisih, timbul salah faham, serta mengurangkan keakraban dan nilai silaturahim dalam keluarga.
Hukum sekiranya seseorang itu meninggalkan solat sunat tarawih?
Solat tarawih ialah solat sunat muakkad. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat tarawih, dia tidak berdosa, akan tetapi seseorang itu akan mendapat dosa sekiranya mewujudkan perbalahan tentang bilangan rakaatnya sehingga menimbulkan pergeseran dan perselisihan antara umat Islam di masjid.
Adakah bilangan rakaat solat tarawih mempunyai dalil yang pasti?
Mengikut Syeikh Dr. Abdul Malik al-Sa’di, tidak terdapat dalil yang benar-benar pasti tentang bilangan rakaat solat tarawih yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kerana terdapat pelbagai riwayat tentang bilangan rakaatnya. (Lihat buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 119).
Oleh itu, semakin banyak ibadah yang dilakukan pada malam Ramadan, maka semakin banyaklah pahala yang akan diperoleh.
Pendapat jumhur ulama tentang bilangan rakaat solat tarawih?
Menurut Jumhur ulama iaitu yang terdiri daripada ulama’ aliran mazhab Syafie, Hanafi, yang rajih di sisi Imam Ahmad, al-Thauri, Daud dan sebagainya.
Mereka menyatakan bahawa bilangan solat tarawih adalah 20 rakaat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan selainnya yang bermaksud: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) nabi, mendirikan solat (tarawih) dalam bulan Ramadan pada zaman Umar bin al-Khattab dengan 20 rakaat.” (Telah mensahihkannya al-Hafiz al-’Iraqi dan al-Subki).
Apakah hadis yang menunjukkan solat malam tidak terikat dengan bilangan tertentu?
Hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim menyatakan solat malam itu dua rakaat, dua rakaat, tanpa menghadkan bilangan tertentu.
Justeru apabila dilihat pendapat para ulama yang mu’tabar, akan didapati bahawa bilangan rakaat solat tarawih tidak terikat dengan bilangan tertentu.
Di samping itu, terdapat riwayat daripada para ulama’ salaf yang menunaikan solat sunat tarawih lebih 20 rakaat.
Terdapat dalam kalangan mereka yang menunaikan sebanyak 46 rakaat, 41 rakaat, 39 rakaat, 36 rakaat, 34 rakaat dan 24 rakaat. Ada pula yang menunaikan 16 rakaat dan 13 rakaat. (Rujuk buku al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq, halaman 120).
Apakah tindakan yang sepatutnya diambil dalam isu khilaf bilangan rakaat tarawih?
Umat Islam tidak boleh bersikap keras dalam perkara khilafiah, sebaliknya perlu menjaga persaudaraan, mengelakkan perbalahan dan menumpukan kepada kualiti serta keikhlasan dalam beribadah.
Perbalahan tersebut menyebabkan umat Islam bermasam muka, tidak bertegur sapa dan berlaku perpecahan dalam kalangan jemaah.














