fbpx
SELEPAS balik dari solat tarawih, Farid telah menumpangkan seorang lelaki tua berjubah putih sehingga ke satu simpang jalan di kampungnya sebelum lelaki itu ghaib. – Ilustrasi Shah Hasan

Misteri lelaki tua berjubah putih selepas tarawih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA malam ke-10 Ramadan sekitar lima tahun lalu, jalan kampung selepas moreh biasanya meriah dengan suara orang berbual dan bunyi enjin motosikal bersilih ganti.

Namun pada malam itu, hujan lebat sejak maghrib membuatkan jalan hampir kosong kerana orang lebih selesa solat tarawih di rumah.

Farid (bukan nama sebenar) pulang dari masjid sedikit lewat kerana membantu membungkus makanan lebihan untuk jemaah dan mengemas meja selepas moreh.

Sebagai ahli kariah masjid, lelaki berusia sekitar 40-an itu sering menjadi antara orang terakhir yang meninggalkan masjid tersebut.

“Disebabkan hujan lebat ketika datang ke masjid, saya memilih untuk memandu kereta walaupun seorang diri dari rumah. 

“Ketika balik, hujan sudah berhenti. Jadi, ramai yang pulang awal dan tiada siapa minta saya hantar pulang ke rumah,” katanya kepada CitaRasa.

Ketika memandu di sebatang jalan yang sunyi dan gelap kerana tiada lampu jalan, Farid ternampak kelibat seorang lelaki tua berjalan perlahan membelakangi keretanya. 

Lelaki dalam lingkungan 70-an itu bersongkok putih dan berjubah putih, seakan baru pulang dari masjid yang sama dengannya.

Tanpa berfikir panjang, Farid terus menegur lelaki tua itu lalu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke rumah. Lelaki tua itu hanya tersenyum tanda setuju, lalu membuka pintu depan di sebelah penumpang sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Farid. 

Kongsinya, lelaki itu tidak banyak bercakap, tetapi manis dengan senyuman setiap kali Farid berjenaka bagi menceriakan suasana yang hening. 

“Kereta saya wangi saat pak cik itu masuk dan duduk di sebelah saya. Seolah-olah bau bedak bayi yang menenangkan.

“Oleh kerana pak cik  itu senyap saja sepanjang perjalanan pulang, saya banyak berjenaka sambil bertanyakan arah rumahnya. 

“Pak cik itu banyak senyum dan mengangguk sahaja. Tangannya memegang tasbih. Saya rasa dia sedang berzikir, namun mulutnya tidak kumat-kamit,” katanya. 

Setibanya di satu simpang, lelaki tua itu meminta Farid memberhentikan kereta. Farid mula berasa pelik kerana tidak pernah tahu jika wujud jalan menuju kediaman di kawasan itu. 

Bagi seorang yang lahir dan membesar di kampung yang terletak di Utara tanah air itu, selok-belok kawasan tersebut sudah berada dalam fikirannya.

Disebabkan rasa ingin tahu, Farid sempat bertanyakan mengenai kawasan tersebut kepada pak cik itu.

Tiba-tiba, pak cik itu tidak lagi senyum, sebaliknya dia melihat tajam ke arah mata Farid. 

Disebabkan itu, Farid kembali melihat ke arah jalan, sebelum menawarkan diri untuk hantar sampai ke rumah. 

Namun lelaki tua itu terus turun dari kereta, sebelum berjalan ke arah kegelapan dan ghaib sekelip mata. 

Dalam keadaan tergamam, Farid ternampak tasbih pak cik tersebut masih ada di kerusi penumpang. 

Jelas Farid, dia enggan melengahkan masa berfikir, sebaliknya terus memandu pulang ke rumah tanpa menoleh ke belakang. 

“Keesokannya, saya ada tanya kepada orang kampung tentang pak cik tersebut. Ini kerana saya sangka dia juga baru balik dari masjid kami semalam. 

“Bagaimanapun, tiada siapa mengenali pak cik itu. Jadi, saya menuju ke jalan yang pak cik itu turun semalam, namun jalan tersebut tidak wujud. 

“Walaupun situasi berkenaan masih misteri, namun saya buat keputusan untuk menyimpan tasbih pak cik itu sehingga sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN