PETALING JAYA – Di sebalik pakaian yang usang, perawakan tidak terurus dan ada kala dihina, pengemis yang dilihat sebagai ‘sampah’ mampu meraih pendapatan seperti pengurus di syarikat besar.
Malah, ada antara mereka mendakwa mampu meraih antara RM5,000 hingga RM10,000 sepanjang bulan Ramadan hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati.
Tinjauan di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara seperti Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman mendapati, kehadiran pengemis semakin bertambah dengan kebanyakan mereka ‘beroperasi’ di kaki lima, persimpangan lampu isyarat dan lokasi bazar Ramadan.
Seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an yang enggan dikenali berkata, Ramadan merupakan antara tempoh paling menguntungkan kerana lebih ramai individu tampil menghulurkan sumbangan.
Wanita itu hadir bersama dua anak perempuannya termasuk seorang yang masih dalam pangkuan.
Katanya, dia telah menetap di Malaysia selama tujuh tahun dan sebelum ini pernah bekerja di sebuah kedai runcit.
“Keadaan hidup berubah selepas pandemik Covid-19 apabila saya sukar mendapatkan pekerjaan sehingga terpaksa mengemis di jalanan bagi menyara kehidupan.
“Dahulu saya kerja di kedai runcit, tetapi selepas pandemik susah cari kerja. Saya cuba juga cari kerja lain, tetapi tak dapat.
“Sekarang saya kutip derma untuk sara anak-anak. Sekurang-kurangnya saya boleh bayar sewa bilik dan makan. Bulan Ramadan biasanya dapat lebih sikit, kadang-kadang boleh cecah RM10,000,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Wanita itu turut mendedahkan sikap pemurah rakyat Malaysia menjadi antara faktor yang membolehkannya terus bertahan meneruskan kehidupan.
“Syukur, bulan Ramadan ini ramai yang pemurah dan hulur duit bila nampak kami. Terima kasih rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, dua beradik yang ditemui di sebuah persimpangan lampu isyarat berkata, mereka biasanya berada di lokasi tersebut kira-kira lima jam setiap hari untuk meminta sumbangan daripada pengguna jalan raya.
Remaja perempuan berusia 14 tahun itu berkata, dia dan adik lelakinya yang berusia lima tahun dihantar oleh ibu mereka sekitar pukul 8 malam sebelum dijemput semula kira-kira pukul 1 pagi.
“Ibu hantar kami di sini tapi dia tunggu di tempat lain. Selalunya kalau hari biasa kami dapat RM120 hingga RM200 sahaja.
“Tapi bila bulan Ramadan, kadang-kadang boleh dapat lebih sebab ramai orang keluar waktu malam,” katanya.
Tambah remaja itu, jumlah sumbangan yang diterima biasanya meningkat menjelang minggu terakhir Ramadan apabila orang ramai lebih rancak membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
“Biasanya minggu akhir Ramadan orang lagi ramai keluar beli barang dan sedekah. Mungkin boleh dapat lebih,” katanya.
Dalam pada itu, seorang wanita warga Myanmar berusia sekitar 40-an berkata, dia sudah dua tahun mengemis di sekitar ibu kota bagi menampung kos sara hidup.
Wanita itu yang menetap di Ampang akan menaiki bas setiap hari ke kawasan tumpuan bagi mencari sumbangan daripada orang ramai.
“Saya ada penyakit kencing manis dan kaki sering sakit, jadi susah buat kerja berat. Duit yang orang bagi ini saya guna untuk rawatan dan beli ubat di klinik.
“Anggaran saya dapat sebulan dalam RM3,000 hingga RM5,000 bergantung kepada keadaan. Kalau musim perayaan dapat lebih,” katanya.
















