fbpx
Semakin ramai keluarga di Malaysia memilih untuk merakam gambar Aidilfitri lebih awal di studio dan dikatakan gaya pose Gen-Z (tengah) mendapat permintaan tinggi.

Bidikan momen raya keluarga tidak lagi tunggu 1 Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMPU studio menyala terang, seorang ibu membetulkan samping anak lelakinya sementara jurugambar mengarahkan keluarga itu untuk bersedia memberikan ‘pose’ terbaik mereka.

Beberapa hari sebelum Syawal, sebuah studio kecil di ibu kota itu dipenuhi ahli keluarga yang mahu merakam momen raya, bukan lagi di tangga rumah tetapi dalam suasana yang lebih profesional.

Berkongsi dengan CitaRasa, Nur Syazlin Othman, 31, berkata, dia dan suami merupakan antara individu yang gemar menggunakan servis fotografi Aidilfitri secara profesional di studio.

“Saya terfikir untuk mengambil servis fotografi profesional Aidilfitri sewaktu anak sulung saya berusia tiga tahun.

“Keputusan itu dibuat kerana setahun sebelumnya, kami berdepan cabaran untuk mendapatkan walau sekeping gambar raya yang cantik kerana anak saya meragam sepanjang hari.

“Sudahnya, saya tidak memuat naik gambar di media sosial kerana sudah sibuk dengan urusan lain. Saya sedikit kecewa memandangkan Aidilfitri cuma datang sekali setahun,” katanya.

Mungkin ada yang menganggap tidak dapat merakam gambar keluarga lengkap berbaju raya pada pagi Aidilfitri sebagai sesuatu yang remeh, namun bagi pekerja swasta itu, ia memberi kesan kepadanya kerana berfungsi sebagai medium merakam memori, khususnya bersama anak-anak yang cepat membesar.

“Oleh sebab itu, saya dan suami sepakat menggunakan servis jurugambar profesional kerana untuk sesi bergambar, mereka akan mengambil gambar pelanggan sehingga pelanggan puas hati.

“Hasilnya, gambar cantik dan pagi Aidilfitri pula boleh digunakan untuk urusan lain yang lebih penting seperti menziarahi kubur sanak saudara, menyiapkan juadah raya dan juga mengunjungi rumah terbuka,” katanya.

NUR SYAZLIN dan keluarganya antara yang sering merakamkan gambar fotografi keluarga di studio sebelum Syawal kerana pernah berdepan cabaran untuk mendapatkan gambar yang memuaskan di pagi Syawal.

Ramai dalam kalangan ibu bapa mengakui pernah berdepan situasi serupa setiap kali tiba pagi Aidilfitri.

Dalam kesibukan menyiapkan juadah, menerima tetamu serta mengurus anak-anak yang teruja dengan suasana raya, sesi bergambar keluarga sering menjadi cabaran tersendiri.

Ada yang hanya sempat merakam gambar secara ringkas menggunakan telefon bimbit, manakala tidak kurang juga yang akhirnya langsung tidak mempunyai gambar keluarga yang memuaskan untuk dikenang.

Keadaan itu antara faktor yang mendorong semakin ramai keluarga memilih untuk merakam gambar Aidilfitri lebih awal di studio.

Jika dahulu, khidmat sebegini mungkin hanya dilakukan oleh segelintir terutama pemimpin atau orang-orang penting untuk pembuatan kad ucapan dan sebagainya, namun kini meluas dipraktikkan dalam masyarakat.

Selain memberikan ruang yang lebih selesa untuk bergambar, suasana studio yang teratur serta bantuan jurugambar profesional juga membantu memastikan setiap ahli keluarga dapat bergambar dengan lebih santai dan terancang.

Servis fotografi profesional untuk Aidilfitri terus popular dengan kewujudan pelbagai studio gambar yang menawarkan pelbagai konsep sama ada klasik atau pun moden.

Prop yang digunakan ada berlatarkan seperti kediaman moden, dekorasi raya dan ada juga elemen unik seperti jerami padi.

POSE raya Gen-Z dikatakan mendapat permintaan tinggi.

Jurugambar fesyen, Aiman Yazid, 30, memberitahu tahun ini cukup meriah dengan kewujudan studio-studio baharu menjadikan pasaran itu agak kompetitif.

“Namun, ia satu perkembangan baik kerana masing-masing menawarkan konsep tersendiri yang boleh dipilih pelanggan,” katanya ketika ditemui di acara Aidilfitri anjuran komuniti CircKLe di The Campus Ampang baru-baru ini.

Aiman yang berkesempatan membuka reruai studio bergambar Aidilfitri di The Campus Ampang berkata, dia seronok apabila diberi peluang untuk berkarya dalam hasil fotografinya.

“Penganjur acara memberi kebebasan buat saya untuk berkarya mengikut kreativiti dalam menghasilkan gambar Aidilfitri.

“Untuk itu, saya menghasilkan background gabungan elemen klasik dan moden, dengan sedikit tekstur.

“Warna coklat pula adalah merupakan warna asli yang sesuai dipadankan dengan apa jua warna baju raya yang dipakai,” katanya yang mempunyai sebuah studio fotografi di Kuala Lumpur.

Mahu lari daripada gambar tipikal pagi raya, Aiman dilihat menyerlahkan sisi kreatif apabila turut menawarkan servis gambar raya dengan kelainan seperti efek motion blur.

AIMAN YAZID

Hasilnya, gambar-gambar Aidilfitri yang dirakam bukan sahaja cantik malah sarat dengan elemen seni kreatif jurugambar sepertinya.

Bagi pengasas studio gambar MMP Studio di Sungai Petani, Kedah, Mohd. Khairul Idham Mohd. Akhier, 34, dia menyedari peningkatan trend fotografi studio sejak empat tahun lalu.

“Saingannya cukup sengit tahun ini, malahan tempahan slot bergambar di studio kami sempena Aidilfitri berjaya dipenuhkan dengan pantas,” kongsinya.

Mohd. Khairul Idham berkata kesedaran masyarakat terhadap kualiti gambar studio yang semakin meningkat menjadikan servis itu semakin popular.

“Apabila ramai pempengaruh atau individu terkenal berkongsi gambar berkualiti tinggi di media sosial, ia secara tidak langsung mencetuskan minat orang ramai untuk merasai pengalaman bergambar sentuhan profesional, yang sudah pasti hasilnya lebih kemas, premium dan berkualiti,” katanya.

Antara pempengaruh yang pernah melakukan fotografi raya di studionya ialah Akak Tapau yang tular.

Kongsi Khairul Idham, di studio kini juga, keluarga boleh merakam pelbagai gaya tidak tipikal studio dan ‘pose Gen-Z’ dikatakan mendapat permintaan tinggi tahun ini.

Khairul Idham menambah, servis fotografi di studio bukan semata-mata mendapatkan gambar aesthetic, tetapi juga sebagai kenangan bersama insan tersayang.

“Saya lihat kedua-dua elemen itu seimbang dalam kalangan mereka yang memilih untuk mendapatkan servis ini,” jelasnya.

Kesimpulannya, gambar Aidilfitri bukan sekadar tentang pose yang sempurna atau latar yang cantik. Ia adalah tentang masa yang berlalu, anak-anak yang semakin membesar dan keluarga yang terus berubah dari tahun ke tahun.

Dalam satu bingkai kecil itu tersimpan cerita Syawal, kenangan yang mungkin suatu hari nanti menjadi antara perkara paling berharga untuk dikenang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN