Muzik tema siri Cardcaptor Sakura membangkitkan nostalgia dalam diri penulis saat melangkah masuk ke dalam ruangan pameran Cardcaptor Sakura: The Enchanted Museum di Kuala Lumpur.
Melihat watak kegemaran zaman kanak-kanak seperti Sakura dan Kero-chan mengimbau kembali kegembiraan menonton siri Jepun tersebut di kaca televisyen pada setiap hujung minggu.
Lebih menarik, pengunjung yang rata-ratanya membesar pada era 90-an turut berkongsi keterujaan untuk melihat koleksi pameran yang julung kali diadakan di Asia Tenggara ini.
Menurut Pengarah Negara INCUBASE Studio Malaysia, Benedict Wong, siri Cardcaptor Sakura bukan sahaja popular di Jepun, malah telah mencipta fenomena global dan mampu menarik peminat dari dalam dan luar negara.
“Ini merupakan peluang istimewa buat rakyat Malaysia dan pelancong serantau untuk merasai sendiri keajaiban dunia Cardcaptor Sakura yang penuh dengan magis.
“Kami yakin suasana pameran yang autentik, seperti dalam siri tersebut, mampu membuatkan pengunjung berasa teruja dengan nostalgia zaman kanak-kanak mereka,” katanya kepada CitaRasa.
Pameran yang berlangsung di INCUBASE Arena Malaysia, Fahrenheit 88, Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh INCUBASE Studio.
Untuk rekod, Cardcaptor Sakura merupakan siri manga dan anime yang dicipta oleh kumpulan mangaka wanita terkenal dari Jepun, CLAMP yang terdiri daripada empat ahli iaitu Satsuki Igarashi, Ageha Ohkawa, Tsubaki Nekoi dan Mokona.
Siri tersebut dikatakan mula diterbitkan oleh majalah Nakayoshi pada tahun 1996 dan kemudian diadaptasi menjadi siri anime yang mula disiarkan pada tahun 1998.
Cardcaptor Sakura mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah rendah bernama Sakura Kinomoto yang terpilih untuk menjadi ‘penangkap kad’.
Tambah Benedict, pengunjung diberikan misi untuk melengkapkan cop di enam stesen yang disediakan di sepanjang pameran tersebut.
“Secara keseluruhan, ada lapan ruang yang boleh dilawati pengunjung, dengan enam stesen cop yang perlu dilengkapkan.
“Setiap pengunjung yang melengkapkan kesemua stesen akan menerima kad lutsinar edisi khas yang direka sendiri oleh CLAMP sebagai cenderamata lawatan,” katanya.
Secara peribadi, ruangan kegemaran penulis adalah The Siege Atelier of Tomoyo yang menempatkan empat kostum mewah yang dipakai oleh Sakura.
Kostum-kostum bergaya lengkap dengan hiasan kepala yang unik itu direka khas oleh sahabat baik Sakura, Tomoyo Daidouji.
Selain itu, pengunjung patut merebut peluang untuk bergambar dengan figura bersaiz besar watak penjaga comel, Kero-chan.
Ujar Benedict lagi, pameran ini turut menampilkan barangan eksklusif edisi terhad yang hanya boleh didapati di pameran berkenaan.
Katanya lagi, sebuah kafe khas bertemakan anime Jepun itu turut disediakan buat para peminat.
“Para peminat siri ini seharusnya tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan eksklusif yang diimport terus dari Jepun.
“Bagi melengkapkan lagi pengalaman menerokai dunia magis ini, pengunjung juga boleh singgah makan dan minum di kafe bertema kami,” ujarnya.














