SEBAIK sahaja mendapat tahu penyanyi kegemaran saya, Taylor Swift akan mengadakan konsert di Asia dan Australia, saya tanpa berfikir panjang terus membeli tiket konsert. Memandangkan saya gagal mendapat tiket konsert
Taylor Swift di Malaysia, maka saya membeli edisi Sydney, Australia yang berlangsung pada awal tahun lalu.
Sambil layan konsert, saya juga boleh melancong di sana kerana sudah lama teringin meneroka keindahan benua Australia seperti Sydney dan Melbourne.
Saya ke sana bersama kakak yang juga merupakan peminat Taylor Swift. Kami memilih penerbangan Philippine Airlines, sekali gus memerlukan kami transit di Manila selama sejam.
Setibanya di Sydney, kami terus check-in di Airbnb yang terletak berdekatan Taronga Zoo.
Usai berehat, kami terus ke Taronga Zoo yang juga merupakan antara lokasi menarik untuk dikunjungi di Sydney.
Untuk ke zoo tersebut, kami perlu menaiki feri dari Circular Quay yang mengambil masa sekitar 12 minit.
Perjalanan menaiki feri juga memberi peluang buat kami untuk melihat dan merakam pemandangan menarik di Sydney Harbour.
Kemudian, kami pulang semula ke Airbnb untuk bersedia ke konsert pada keesokan harinya.
Kami sengaja mengosongkan waktu siang bagi mengelak diri terlalu penat sewaktu konsert pada sebelah petang.
Memandangkan Airbnb yang disewa membenarkan kami memasak, maka saya dan kakak membeli bahan masakan seperti roti, telur dan buah-buahan untuk bersarapan.
Kami juga menghabiskan masa membuat carian di internet berkenaan tempat-tempat menarik lain yang boleh dikunjungi sekiranya berkesempatan.

Memandangkan tempat konsert itu di Accor Stadium, Sydney Olympic Park dan terletak agak jauh dari penginapan, maka kami terpaksa bersiap awal sebelum memulakan perjalanan ke lokasi.
Kami menaiki tren yang mengambil masa satu jam setengah sebelum tiba di stadium sekitar pukul 4 petang.
Rasa bagaikan tidak percaya apabila dapat terbang sejauh ini bagi menghadiri konsert penyanyi kegemaran kami.
Konsert bermula tepat pukul 6.30 petang dan habis sekitar pukul 10 malam.
Sepanjang konsert, kami mengelak untuk mengambil terlalu banyak foto atau video.
Ini kerana, kami mahu benar-benar be in the moment. Itu mungkin satu-satunya peluang kami untuk melihat persembahan Taylor Swift secara langsung di depan mata.
Keesokan harinya, kami memutuskan berkunjung ke Bondi Beach pula bagi menikmati suasana pantai.
Bondi Beach juga termasuk dalam senarai tempat yang mahu saya kunjungi di Sydney.
Rasa cukup puas hati apabila akhirnya saya sampai juga di sana untuk melihat pemandangan dan gelagat manusia.
Pada sebelah petang pula, kami menghabiskan masa dengan berjalan-jalan di sekitar Queen Victoria Building untuk mencuba makanan-makanan menarik yang dijual.
Memandangkan pilihan makanan halal agak terhad, maka kebanyakan hidangan yang kami beli adalah vegetarian.
Hari seterusnya, kami hanya berjalan-jalan di kawasan sekitar Airbnb untuk membeli cenderamata sebelum pulang di tanah air.
Cenderamata pilihan saya adalah sebotol minyak wangi daripada jenama yang tidak dijual di Malaysia.
Ini bagi membolehkan saya mengingati momen-momen indah di Sydney setiap kali memakainya.
Sejujurnya, saya tidak menyangka akan menyukai Sydney.
Saya jatuh cinta dengan keramahan penduduknya dan gaya hidup mereka yang urban.
Jika ada peluang dan kesempatan, saya pasti kembali lagi ke Sydney pada masa akan datang.














