fbpx
SKUAD hoki remaja kebangsaan bakal menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Chennai, India bermula 28 November hingga 10 Disember.

Individu tepat pulih maruah hoki remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELANTIKAN legenda hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin sebagai ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara disebut-sebut sebagai satu keputusan tepat dilakukan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Bagai sirih pulang ke gagang, jurulatih berpengalaman luas berusia 59 tahun ini dikatakan sebagai individu terbaik yang mampu membawa arena hoki tanah air ke tahap lebih tinggi terutamanya di peringkat remaja.

Kehadirannya juga tepat pada waktu ketika skuad senior dikenali Speedy Tigers semakin tenggelam dengan keputusan-keputusan mengecewakan sepanjang tahun lalu. Jika pasukan remaja gagal menghasilkan pelapis berbakat besar untuk bersaing di peringkat tertinggi, bermakna skuad senior akan berdepan masalah besar.

Bagaimanapun, peminat-peminat hoki tidak boleh meletakkan jangkaan dan tekanan terlalu tinggi kepada individu yang pernah beraksi di tiga Sukan Olimpik pada Barcelona 1992, Atlanta 1996 dan Sydney 2000.

Pengalamannya pernah mengendalikan skuad remaja negara selama empat tahun dari 2016 hingga 2020 mungkin menjadi sebab beliau dilantik menggantikan tempat bekas pengendali, I. Vikneswaran yang mahu memberi fokus sebagai Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur.

Selain itu, Nor Saiful juga cukup mengenali barisan pemain muda menerusi program pembangunan akar umbi Thunderbolts di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Disebabkan itu, beliau perlu diberikan segala ruang dan sumber secukupnya bersama skuad muda negara dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Meskipun tempoh itu dilihat singkat tetapi sekurang-kurangnya beliau perlu memastikan Young Tigers bersedia menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Chennai, India bermula 28 November hingga 10 Disember.

Sekiranya berupaya melangkah ke suku akhir sebagai lapan terbaik daripada 24 pasukan, ia boleh dianggap satu permulaan cemerlang buat Nor Saiful untuk mencorakkan masa depan barisan pemain muda.

Umum mengetahui, Young Tigers gagal menyerlah dalam edisi terakhir Piala Dunia Remaja yang diadakan di Kuala Lumpur menyaksikan Malaysia ketika itu meraih tempat ke-12 daripada 16 pasukan.

Selepas sudah mengenal pasti masalah utama, Nor Saiful dilihat mahu memberikan lebih penekanan kepada pembangunan bakat muda pada awal kehadirannya tanpa mengambil kira pencapaian jangka masa pendek.

Baginya, membina pasukan berdaya saing dengan pemilihan pemain-pemain berkualiti dari peringkat remaja boleh memastikan skuad senior tidak ketandusan tunjang-tunjang utama pada masa hadapan.

Buat masa ini, beliau sudah mengenal pasti 30 hingga 33 pemain untuk dipanggil menyertai sesi latihan dalam usaha membentuk pasukan menghadapi edisi Piala Dunia Remaja kali ini dan juga seterusnya pada 2027.

Justeru, Piala Sultan Johor (SOJC) yang kebiasaannya diadakan di Johor Bahru sekitar bulan September bakal menjadi medan terbaik menguji skuad bimbingan Nor Saiful sebelum berlepas menghadapi Piala Dunia Remaja.

Sebagai rekod, kejayaan meraih tempat keempat masih lagi dianggap pencapaian terbaik buat skuad remaja selepas melakarnya sebanyak tiga kali pada edisi Versailles 1979, Kuala Lumpur 1982 dan New Delhi 2013.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN