fbpx
MESIN cetakan 3D yang digunakan dalam pembinaan rumah.

Bina rumah guna mesin cetakan 3D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EVOLUSI percetakan tiga dimensi (3D) telah memperlihatkan kepelbagaian inovasi dalam penghasilan barangan dalam bentuk tempahan khas hingga produk dagangan.

Tidak hanya itu, teknologi berkenaan juga telah merentasi pelbagai industri daripada perubatan hingga ke automotif.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor pembinaan juga telah mula memanfaatkan potensi percetakan 3D dalam pembangunan rumah.

Dikenali sebagai rumah cetakan 3D, ia merupakan evolusi baharu dalam pembinaan iaitu membina kediaman menggunakan pencetak berskala besar.

Teknologi itu menggunakan bahan binaan seperti konkrit khas, sebelum ‘cetakan’ dilakukan secara lapis-lapis mengikut reka bentuk digital yang telah diprogramkan.

Menurut artikel tulisan Jack Portley dalam portal Know How, teknologi itu bukan sahaja mengubah cara manusia mereka bentuk dan membina rumah, malah memberi jawapan kepada beberapa masalah penting yang dialami oleh industri perumahan.

Antara masalah yang meruncing adalah seperti kecekapan, keterjangkauan dan kemampanan.

“Teknologi rumah bercetak 3D telah merevolusikan proses pembinaan dengan peningkatan kecekapan menerusi langkah teras yang terlibat dalam mewujudkan rumah futuristik ini.

“Ia melibatkan proses seperti reka bentuk dan penciptaan rangka, perancangan dan penyediaan bahan serta pembinaan selepas cetakan,” katanya.

Dalam proses berkenaan, lukisan reka bentuk dihasilkan dengan bantuan komputer (CAD) secara menyeluruh.

Kemudian, bahan utama disediakan untuk dicetak dan biasanya ia menggunakan varian mortar atau konkrit.

Selepas itu, pencetak pembinaan berskala besar digunakan untuk mengeluarkan konkrit secara berlapis bagi penghasilan asas, dinding serta tapak rumah. Kemudian, pemasangan tambahan seperti tingkap, pintu, paip dan pendawaian elektrik disepadukan untuk melengkapkan struktur rumah.

Kongsinya, idea menggunakan cetakan 3D untuk membina rumah timbul pada akhir 1990-an dan awal 2000-an apabila penyelidik mula bereksperimen dengan bahan binaan seperti konkrit.

Salah satu tokoh terawal dalam pembangunan rumah cetakan 3D ialah Dr. Behrokh Khoshnevis dari University of Southern California, Amerika Syarikat (AS).

Dia telah memperkenalkan sistem Contour Crafting pada awal 2000-an yang berupaya ‘mencetak’ dinding konkrit secara automatik.

Khoshnevis menyatakan bahawa teknologi itu boleh menyelesaikan masalah perumahan global dengan membina rumah dengan murah dan pantas untuk mangsa bencana atau golongan miskin.

Sepanjang dekad ini, pelbagai syarikat mula melabur dalam pembangunan rumah cetakan 3D, antaranya Winsun dari China, ICON (AS) dan syarikat Apis Cor (kerjasama antara AS serta Russia).

Pembangunan kawasan perumahan cetakan 3D pertama di dunia telah dibangunkan oleh syarikat ICON di Austin, Texas.

SEORANG petugas memantau kerja-kerja binaan yang dilakukan oleh mesin cetakan 3D.

Projek hasil kerjasama dengan pemaju hartanah, Lennar yang dirancang sejak 2018 itu kini sedang dalam proses pembinaan. Kawasan komuniti dinamakan Wolf Ranch itu memiliki 100 buah rumah cetakan 3D.

Menurut Pengurus Projek Kanan ICON, Conner Jenkins, sehingga Julai tahun lalu, 95 daripada 100 unit rumah yang dirancang telah siap dibina, dan kebanyakannya telah dijual serta didiami.

Apabila siap sepenuhnya, kawasan tersebut akan menjadi komuniti rumah cetakan 3D terbesar di dunia.

Dalam pembinaan perumahan ini, ICON menggunakan teknologi pencetak 3D sendiri untuk membina Wolf Ranch. Malah, syarikat itu turut memperkenalkan versi pencetak baharu yang mampu membina bangunan dua tingkat setinggi 8.2 meter.

“Rumah percetakan 3D lebih pantas, lebih murah dan tidak memerlukan ramai pekerja, selain dapat meminimumkan sisa bahan binaan.

“Kami memulakan projek ini sejak tahun 2022 dan ia kini hampir siap sepenuhnya, malah ada rumah telah dijual dan diami oleh pembeli,” ujarnya.

Kata Jenkins lagi, pembinaan rumah cetakan 3D melibatkan campuran serbuk konkrit, air, pasir dan bahan tambahan lain, sebelum dipam ke dalam pencetak.

Kemudian, muncung mesin cetak akan memerah keluar campuran konkrit bagi membina lapisan demi lapisan dinding di sepanjang laluan yang telah diprogramkan.

Menariknya, rumah setingkat dengan tiga hingga empat bilik tidur mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan, dengan struktur asas dan bumbung logam dipasang secara tradisional.

Malah, dinding konkrit telah direka bentuk supaya tahan air, anai-anai dan cuaca melampau.

Sementara itu, Pengurus pembangunan perniagaan, Lawrence Nourzad dan teman wanitanya, seorang ahli strategi kreatif, Angela Hontas merupakan antara pembeli rumah di Wolf Ranch.

Katanya, rumah cetakan 3D tersebut digambarkan seperti sebuah kubu.

Ujarnya, mereka yakin rumah berkenaan mampu bertahan daripada fenomena puting beliung.

“Dindingnya juga merupakan penebat yang baik daripada haba dan ia berupaya mengekalkan kesejukan ruang dalaman, walaupun tanpa pendingin hawa.

“Jelas sekali, ini adalah dinding yang sangat kuat dan tebal.

“Bahkan, ia memberikan banyak nilai tambah kepada kami sebagai pemilik rumah, selain mampu bertahan ketika musim panas di Texas,” kata Nourzad.

Teknologi perumahan sedang mengalami revolusi dengan rumah cetakan 3D berada di barisan hadapan kerana memiliki gabungan kecekapan, kemampanan dan inovasi.

Pasaran rumah cetakan 3D juga dijangka melonjak lebih tinggi kerana didorong oleh isu-isu berkaitan pasaran perumahan.

Ujarnya, rumah cetakan 3D merupakan penyelesaian kepada kekurangan kediaman mampu milik, selain lebih mampan.

Kini, terdapat banyak projek rumah cetakan 3D yang akan dan sedang dilaksanakan.

Contohnya, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu telah merancang satu perempat daripada semua bangunan baharu di wilayah itu akan dibina menggunakan pencetak 3D menjelang tahun 2030.

Hal ini menunjukkan komitmen Dubai terhadap pembangunan bandar mampan.

Trajektori itu bukan sahaja menggariskan kesan transformatif percetakan 3D pada sektor perumahan, bahkan menyerlahkan implikasi kehidupan mampan dan amalan pembinaan inovatif di seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN