JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil 21 sampel bagi menjalankan siasatan berhubung insiden keracunan makanan membabitkan 16 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah ini, Sabtu lalu.
Pengarahnya, Dr. Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pemeriksaan dijalankan di dapur dewan makan dan kafeteria institusi pendidikan itu pada hari sama aduan diterima.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima laporan beberapa pelajar menunjukkan simptom seperti sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala dan demam.
“Susulan itu, sebanyak 21 sampel telah diambil untuk siasatan, termasuk tujuh sampel makanan, enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga sampel dari pengendali makanan,” katanya dalam kenyataan.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan kira-kira 16 pelajar MRSM Johor Bahru dilapor mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, kesemua pelajar yang bergejala telah dihantar ke beberapa fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kejadian itu, Mohtar berkata, premis makanan yang disyaki terlibat telah diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342). – KOSMO! ONLINE














