BIARPUN penuh dengan elemen seram di setiap sudut, muzium hantu mempunyai peminatnya yang tersendiri selain menjadi lokasi pilihan untuk dikunjungi pada cuti hujung minggu.
Ghost Museum yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang merupakan antara tarikan yang boleh dikunjungi, khususnya bagi mereka yang meminati cerita-cerita mistik dan hantu.
Berkongsi dengan CitaRasa, pengurus Ghost Museum, Mawar Shukor berkata, premis itu menyajikan pengalaman menarik buat pengunjung yang mahu menghabiskan masa meneroka elemen menyeramkan yang ditawarkan di situ.
“Muzium ini mula dibuka kepada pengunjung pada 2015. Ia menyajikan pelbagai zon atau tema menyeramkan yang boleh dinikmati pengunjung daripada hantu tempatan seperti pontianak, pocong, toyol dan orang minyak, sehinggalah hantu-hantu antarabangsa seperti dracula dan zombi.
“Di sini, pengunjung berpeluang meneroka kisah seram membabitkan hantu-hantu lagenda dari pelbagai negara seperti China, Jepun dan Mesir,” katanya.

Suasana muzium yang menyeramkan menjadi tarikan utama, ia dilengkapi dengan paparan tiga dimensi (3D) serta pameran interaktif yang menambah elemen mistik untuk dinikmati pengunjung.
Ujar Mawar, muzium itu juga bukan sekadar hiburan semata-mata, memandangkan ia juga berbentuk pendidikan tentang sejarah dan juga latar belakang setiap hantu.
“Keunikan yang ada pada muzium ini adalah gambaran yang dihasilkan pada setiap hantu yang ada bagi membolehkan pengunjung belajar sambil berhibur.
“Sebagai contoh, apabila kami menampilkan karakter hantu Melayu, kami turut mewujudkan persekitaran yang menggambarkan budaya masyarakat Melayu zaman dahulu seperti suasana rumah kampung lama bagi menaikkan lagi elemen sejarah.

“Suasana begitu barangkali sudah tidak lagi dilihat kini, khususnya oleh generasi muda dan oleh sebab itu muzium ini unik dan berbeza dengan muzium-muzium hantu yang lain,” katanya.
Selain melihat pameran hantu, pengunjung juga boleh mencuba kostum hantu yang disediakan dan merakam gambar sebagai ‘hantu’.
Ditanya tentang ruangan paling popular di situ Mawar berkata, ruang loteng di tingkat atas muzium adalah lokasi yang paling digemari para pengunjung.
“Ruang yang dikategorikan sebagai paling menyeramkan di sini adalah satu ruangan loteng di tingkat atas premis, yang merupakan ruangan ‘zombie attack’.
“Ini kerana ruang itu diinspirasikan daripada suasana sebuah hospital lama yang memberi efek cukup menyeramkan,” ujarnya.
Harga tiket masuk bagi dewasa adalah RM24, manakala kanak-kanak tiga hingga 12 tahun dan warga emas 60 tahun keatas adalah RM16.
Ghost Museum dibuka setiap hari pada pukul 10 pagi hingga 7 malam.















