PETALING JAYA – Seorang peguam menjelaskan takrifan asal harta sepencarian adalah apa-apa harta yang dibeli atau diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Menerusi satu video di TikTok @Nuaimrazak, peguam berkenaan menjelaskan bahawa jika sesuatu harta dibeli sebelum berkahwin, ia hanya boleh dikira sebagai harta sepencarian sekiranya telah dimajukan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan.
“Contohnya, isteri membeli set pinggan mangkuk, perabot, televisyen, peti sejuk dalam tempoh perkahwinan.
“Tetapi selepas bercerai, sekiranya suami bertindak membawa lari barangan tersebut atau enggan memulangkannya, isteri boleh memasukkan barangan itu dalam tuntutan harta sepencarian,” katanya.
Beliau mengulas isu melibatkan pempengaruh media sosial, Cik Epal yang mendakwa bekas suaminya, Jofliam, menghalangnya mengambil semula barangan miliknya yang berada di kediaman lelaki berkenaan.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial turut memberikan reaksi terhadap video tersebut.
“Bijak Cik Epal. Dia simpan semua resit-resit pembelian. Selalu ambil video sebagai bukti ketika membeli dan membuat bayaran,” komen pengguna @Shunny_90.
“Oh baru tahu, ingat harta sepencarian tu kereta, rumah sahaja. Rupa-rupanya barang dalam rumah pun boleh dituntut. Tengok video ini baru faham,” tulis @Babybiesshop.
“Kes ini memang buat ramai geram… tetapi bila fikir semula, Cik Epal tentu sangat terluka,” balas @Dinimikael151. -KOSMO! ONLINE