MUNGKIN ramai yang masih kurang menyedari keberadaan kenderaan jenama Korea, Hyundai di pasaran yang prestasinya setanding kereta Eropah, malah dikatakan lebih berteknologi.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Santa Fe generasi keempat versi facelift 2024 tampil dengan gaya sofistikated dan amat sesuai untuk pemanduan bersama keluarga.
Ia diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada September lalu dengan tiga varian iaitu 1.6L Turbo Hybrid Plus (RM195,888), 1.6L Turbo Hybrid Max (RM215,888) dan 2.2L Turbo Diesel Max (RM209,888).
Sebelum ini, penulis pernah memandu uji varian Hybrid Max dan terbaharu sepanjang hari raya selama seminggu baru-baru ini penulis mencuba pula varian Diesel Max.
Versi Hybrid dan Diesel Max keduanya-duanya berprestasi dengan kuasa mengagumkan walaupun ada yang agak skeptikal dengan jenama kereta dari Korea ini.
Diesel Max ini dikuasakan dengan diesel 100 peratus.
Sepanjang memandu SUV dengan konfigurasi tujuh tempat duduk ini, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV Segmen D tersebut amat baik.

Bagaikan memandu sebuah jentera besar eksklusif, Hyundai Santa Fe yang berdimensi 4,785 milimeter (mm) panjang, 1,900mm lebar, 1,710mm tinggi serta jarak antara roda 2,765mm agak stabil, tiada olengan apabila penulis cuba mengambil selekoh tajam.
Bagi penulis, SUV keluarga ini sangat selesa terutama untuk pemanduan jarak jauh dan kehebatan kuasa selari walaupun bersaiz besar.
Mengupas lanjut mengenai kuasa, enjin Hyundai Santa Fe Diesel Max dipacu oleh enjin 2.0 liter turbo menggunakan sistem Common Rail Direct Injection (CRDi) yang mampu menjana 202PS dan tork maksimum 440Nm.
Versi diesel hadir dengan transmisi automatik DCT lapan nisbah kelajuan 8G-DCT serta sistem pacuan semua roda HTRAC.
Santa Fe Diesel Max didatangkan dengan Terrain Mode Selector yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan yang bersesuaian dengan keadaan pemanduan seperti Sand, Snow & Mud, Eco, Sport, Comfort dan Smart.
Untuk rekod, satu tangki penuh Santa Fe Diesel Max berkapasiti 67 liter dikatakan mampu mencapai jarak sejauh 1,000 kilometer.

Perjalanan hari raya penulis untuk memenuhi undangan majlis hari raya dengan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban beberapa kali kemudian ronda sekitar ibu negara mendapati tangki masih berbaki separuh membuktikan penjimatan bahan api jentera ini.
Cuma apa yang penulis kurang gemar ialah adakalanya bau diesel agak kuat walaupun berada dalam kereta berbanding memandu varian Hybrid yang menggunakan petrol.
Rekaan luar Santa Fe yang sofistikated dengan siluet berkotak dan garisan berstruktur membuatkan SUV ini tampak maskulin dan mewah.
Reka bentuknya kelihatan lebih berani dan moden apabila Santa Fe hadir dengan gril lebar dan corak geometri ikonik yang berintegrasi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED menyerlah bentuk seakan huruf T.
Bagi menambah imej sporty, bahagian bawah gril dan bampar dipasang dengan kemasan berwarna perak.
Varian Diesel Max tampil dengan rim aloi paling besar bersaiz 20 inci dengan warna chrome menyerlahkan gayanya.
Meninjau ke ruangan kabin, Santa Fe menawarkan ruang dalaman yang eksklusif dan selesa dengan balutan kulit skema warna hitam bagi semua varian.
Perbezaan ketara bagi versi facelift ini ialah konsol tengah yang kelihatan lebih tinggi, manakala tombol gear tradisional tidak lagi digunakan sebaliknya digantikan dengan butang ‘shift-by-wire’.
Varian Diesel dilengkapi paparan skrin sentuh intuitif bersaiz 12.3 inci yang menawarkan ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.
Untuk keselamatan pula, Hyundai Santa Fe dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, ESC, bantuan mula-mendaki, kawalan brek turun bukit dan tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.
Kesimpulannya, pada pandangan penulis, Hyundai Santa Fe merupakan sebuah jentera yang berbaloi untuk dimiliki atas faktor menjimatkan, selesa, luas dan paling penting berprestasi sesuai untuk pemanduan bersama keluarga di mana sahaja.














