PONTIAN – Sepasang suami isteri bersyukur akhirnya menerima panggilan haji selepas menabung RM50 sebulan melalui Tabung Haji selama 18 tahun.
Ahmad Tarmizi Sujak, 67, dan isterinya, Siti Samiah Tukiman, 62, ketika mengetahui terpilih menjadi jemaah tahun ini pada 4 Disember tahun lalu menangis dan sujud syukur.
Kata Ahmad Tarmizi, sebagai orang kampung pelbagai pekerjaan dilakukan bagi menyara kehidupan harian seperti mengambil upah, menjadi tukang rumah dan membuat pendawaian rumah.
Katanya, daripada upah atau pendapatan yang diterima, sebanyak RM200 hingga RM300 disimpan di Tabung Haji (TH) dengan harapan akan digunakan bagi menunaikan rukun Islam kelima pada suatu hari nanti.
“Memang cita-cita untuk menunaikan fardu haji sentiasa menjadi idaman walaupun pada tahun 2016 terkena serangan angin ahmar separuh badan, namun sembuh dua tahun kemudian,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Seraya, Benut, disini, baru-baru ini.
Ahmad Tarmizi yang bertugas sebagai seorang noja di Masjid Jamek Kampung Parit Marjunid menambah, bagi mencukupkan tambang untuk ke Mekah, perbelanjaan harian juga kena berjimat cermat.
“Alhamdulillah, hasil jimat cermat, saya dan isteri telah mempunyai tambang yang cukup selain keperluan lain sebelum bertolak ke Tanah Suci pada 21 Mei ini,” ujarnya yang mempunyai seorang anak perempuan dan seorang cucu.
Sementara itu. Siti Samiah berkata, dia bersama suami tidak jemu-jemu mengikuti kursus haji setiap tahun dan hanya terhenti ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2019 dan 2020 lalu.
Jelas Siti Samiah, dia dan suami berharap supaya perjalanan pergi dan balik bermula pada 21 Mei ini akan berjalan dengan baik serta mendapat haji mabrur seperti idaman semua bakal-bakal haji.















