KUALA TERENGGANU – Ketua Kluster Pengajian dan Pembangunan Operasi Maritim Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kepten Maritim Hamiludin Che Awang dilantik Pengarah Maritim Terengganu berkuatkuasa hari ini.
Beliau menggantikan Laksamana Pertama Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia (APMM), Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, beliau menaruh keyakinan terhadap kewibawaan Hamiludin, 51, untuk meneruskan legasi cemerlang Maritim Terengganu yang ditinggalkan Mohd. Khairulanuar.
“Beliau (Hamiludin) berpengalaman luas sewaktu berkhidmat di AMSAS yang merupakan pusat latihan maritim utama di negara ini.
“Pengalaman beliau dalam bidang latihan dan pengemudian kapal maritim pasti akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) terutama melibatkan insiden ekstrem pada musim tengkujuh,” katanya di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, Saiful Lizan menyaksikan majlis serah tugas antara Hamiludin dan Mohd. Khairulanuar sebagai Pengarah Maritim Terengganu.
Beliau berkata, Hamiludin juga bakal berhadapan cabaran mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing dan jenayah rentas sempadan memandangkan Terengganu merupakan negeri pesisir pantai menghadap Laut China Selatan.
Dalam pada itu, Saiful Lizan berkata, sepanjang Maritim Terengganu diterajui Mohd. Khairulanuar mulai September 2022, sebanyak 40 kes tangkapan nelayan asing melibatkan rampasan keseluruhan RM60 juta berjaya dilakukan. – KOSMO! ONLINE