GEORGE TOWN – “Memang tak sangka kerana saya selalu gagal dalam subjek Matematik dan sekadar lulus subjek Sains sejak tingkatan satu lagi.”
Demikian pendedahan seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Nurzahirah Mawardi, 18, setelah berjaya memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, hari ini.
Akui anak kepada penghantar makanan itu, dia mula bangkit dari kegagalan selepas selesai menduduki peperiksaan percubaan SPM 2024 lalu dan menjadikan rakan karibnya sebagai rujukan.
“Mereka langsung tak bagi tiru hasil kerja Matematik tetapi mereka ajar kaedah penyelesaiannya sampai saya faham.
“Akhirnya, berkat usaha dan keyakinan, saya bangkit daripada kegagalan menerusi hasil bantuan guru dan rakan karib. Sebelum ini saya hanya target dapat 5A sahaja,” beritahunya kepada Kosmo! ketika ditemui di pekarangan sekolahnya, hari ini.
Dalam pada itu, anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu lagi, dia menanamkan impian bergelar seorang pendidik suatu hari nanti.
“Saya juga bercita-cita menjadi seorang peguam namun lebih tertarik menjadi seorang guru dalam subjek Bahasa Inggeris. Saya yakin dapat mencapainya kelak,” ujarnya yang turut ditemani ibunya, Nur Zahayu Hassan, 50.
Sementara itu, rakan karib Nurzahirah yang merupakan pasangan kembar seiras iaitu Nurul Aliya Najwa Muhammad Rusli dan adiknya, Nurul Ain Nafisha turut berkongsi kegembiraan apabila memperoleh keputusan semua A dalam SPM 2024.
“Berkat usaha kami dua beradik tanpa hadir ke mana-mana kelas tuisyen, hanya bergantung sesi pembelajaran di dalam kelas serta tunjuk ajar oleh guru akhirnya membuahkan hasil.
“Kami tidak terikat dengan masa ulang kaji tapi kami fokus apa yang diajar guru semasa di dalam kelas. Kami sama-sama buat dan bantu satu sama lain,” ujarnya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang. -KOSMO! ONLINE