PETALING JAYA – Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) telah berjaya menyelesaikan prosiding undang-undang melibatkan anak syarikatnya, Iconic Medicare
Sdn Bhd (IMED) yang difailkan oleh Latex Form Sdn Bhd. (LFSB).
Pada 22 April 2025, Mahkamah Tinggi Malaya di Pulau Pinang telah menolak
sepenuhnya tuntutan LFSB yang berjumlah RM15,038,004 dan membenarkan
sebahagian tuntutan balas yang dikemukakan oleh IMED.
Mahkamah turut memerintahkan LFSB membayar jumlah penghakiman sebanyak
RM10,115,000 kepada IMED dalam tempoh 21 hari dari tarikh penghakiman, bersama
faedah pada kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga bayaran
penuh diselesaikan.
Selain itu, LFSB juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada IMED.
Penyelesaian kes mahkamah ini amat bermakna kepada Kumpulan memandangkan
LFSB sebelum ini menuntut jumlah melebihi RM15 juta.
Justeru, penolakan tuntutan ini telah menyingkirkan satu risiko material yang besar kepada Kumpulan dan pihak berkepentingannya, malah, tuntutan balas oleh IMED yang dibenarkan sebahagiannya memberikan keputusan yang positif kepada Kumpulan.
Dalam perkembangan berasingan, pada 28 Februari lalu, Kumpulan mengumumkan
bahawa Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak tuntutan CeramTec Innovative Ceramic Engineering (M) Sdn. Bhd. (CICE) terhadap IMED berjumlah RM44,190.
Berkaitan dengan tuntutan balas IMED terhadap CICE, mahkamah memerintahkan CICE
membayar kepada IMED sejumlah RM583,800 iaitu kos tambahan yang ditanggung
oleh IMED untuk mendapatkan bekalan ceramic former daripada pembekal lain.
Namun begitu, tuntutan IMED berjumlah AS$3.76 juta, iaitu kerugian keuntungan akibat
kelewatan penghantaran ceramic former, tidak dibenarkan.
Seperti yang diumumkan melalui pemfailan Bursa Malaysia pada 17 April 2025, IMED kini dalam proses membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan sebarang perkembangan material akan
diumumkan dari semasa ke semasa.
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan keputusan prosiding undang-undang tersebut dan keputusan mahkamah yang menolak tuntutan LFSB terhadap syarikat serta membenarkan sebahagian tuntutan balas, merupakan pengesahan terhadap kedudukan syarikat.
“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi dan inisiatif pertumbuhan utama perniagaan kami.
“Melangkah ke hadapan, kami komited untuk memperkukuh amalan pengurusan risiko
bagi mengurangkan potensi isu undang-undang seumpama ini pada masa hadapan.
“Dengan isu ini berjaya diselesaikan, Kumpulan kini dapat menumpukan sepenuh
perhatian dan sumber kepada usaha memperkukuh operasi perniagaan teras dan
melaksanakan strategi pertumbuhan masa hadapan kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.-KOSMO! ONLINE