BIDANG e-sukan kini dilihat sebagai bidang pilihan untuk diterokai anak muda, dek kerana perkembangannya yang begitu baik dan juga hadiah lumayan yang ditawarkan dalam setiap kejohanan.
Bidang itu juga menjadi pilihan kerjaya buat seorang anak kelahiran Kuala Lumpur yang mula berkecimpung dalam bidang e-sukan seawal usia 12 tahun.
Pengalaman bermain game seperti Defense of the Ancients (DotA) dan Counter Strike pada usia remajanya mendorong Ajwad Mohd. Yusof, 34, untuk membabitkan diri secara sepenuh masa dalam industri e-sukan dengan memilih kerjaya sebagai jurulatih Mobile Legends Bang Bang (MLBB) untuk pasukan Todak yang juga merupakan antara pasukan MLBB terhebat di negara ini.
Berpeluang berkongsi tentang laluan kerjayanya dengan K-Remaja, Ajwad atau lebih dikenali sebagai Kuja memberitahu dia mula serius bermain game pada usia 12 tahun sebelum menjadi jurulatih pada tahun 2017.
Akui Kuja, pencapaian peribadinya dalam bidang e-sukan bukanlah tertumpu kepada memenangi piala kejohanan, namun lebih kepada tawaran menjadi jurulatih yang banyak diterima, khususnya dari pihak antarabangsa.
“Bercakap tentang pencapaian saya dalam e-sukan, saya pernah beberapa kali mewakili Malaysia sebagai pemain dan jurulatih, malahan saya juga pernah diimport oleh sebuah pasukan e-sukan Singapura untuk menjadi jurulatih mereka.
“Baru-baru ini juga, saya ada menerima tiga tawaran dari pasukan e-sukan Arab Saudi untuk menjadi jurulatih mereka.
“Namun, oleh kerana komitmen keluarga, maka saya memilih untuk menolak tawaran tersebut. Bagi saya, apa-apa pun, keluarga adalah keutamaan saya kini,” kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Bercakap tentang industri e-sukan, biarpun boleh dikategorikan sebagai ‘orang lama’ dalam industri, Kuja masih menasihati anak muda yang berminat berkecimpung dalam bidang itu untuk sentiasa mengutamakan pelajaran.
Hal ini kerana baginya, e-sukan bukan untuk semua, selain Kuja tidak melihat industri itu sebagai sesuatu yang kekal lama.
“Pembabitan sebagai atlet e-sukan lazimnya adalah melibatkan mereka yang berusia antara 16 hingga 25 tahun, memandangkan usia ini adalah usia puncak seorang atlet.
“Selepas memasuki usia 25 tahun, kerjaya atlet misalnya akan menjadi perlahan, kerana biarpun minda mereka boleh bertindak pantas, namun refleks tangan akan menjadi perlahan.
“Bagi saya, e-sukan boleh pergi jauh, namun buat anak muda yang mahu terlibat dalam industri ini sepenuh masa, saya nasihatkan supaya mereka mengutamakan pelajaran terlebih dahulu, seperti menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini kerana saya mahu mereka melihat pelajaran itu sebagai back-up yang amat penting, sekiranya apa yang kita harapkan dan kejar itu tidak tercapai,” katanya.

Tambah Kuja, sama seperti sukan lain, tidak semua yang menceburi bidang itu akan berjaya.
“Ya, minat memang membantu, namun sebagai anak muda kita kena sentiasa mengutamakan pelajaran,” jelasnya.
Kuja menambah, biarpun berkecimpung dalam e-sukan sebagai jurulatih, ia tetap datang dengan cabaran yang tersendiri.
Antaranya termasuk cabaran untuk memahami generasi muda kini, yang datang daripada pelbagai latar belakang berbeza.
“Bagi saya agak sukar juga untuk saya yang sudah agak berumur ini, untuk ‘masuk’ dan memahami golongan muda zaman sekarang.
“Adakalanya, saya perlu menjadi lebih ‘budak’ daripada mereka, supaya mereka lebih selesa dengan kita,” katanya.
Kuja juga menghadapi cabaran untuk menyatukan semua pemain dalam kumpulan, memandangkan kesemua pemain mempunyai tugas dan latar belakang yang berbeza-beza.
“Sebagai jurulatih, saya perlu memahami bahawa pemain ini datang daripada latar belakang dan dinamik keluarga yang pelbagai.
“Justeru, usaha menyatukan mereka untuk mencapai matlamat berpasukan itu adakalanya sukar dan menjadi cabaran buat saya,” katanya yang merancang untuk bergelar pengurus pasukan pula satu hari nanti.














