SHAH ALAM – Bantuan sewa rumah selama tiga bulan akan disalurkan kepada 396 keluarga mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada Khamis ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan berjumlah RM2,000 sebulan itu bakal diserahkan kerajaan Selangor kepada semua ketua isi rumah yang layak menerimanya.
“Pada Khamis ini, kita akan serah bantuan itu yang akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun (bank) mereka.
“Selain penyerahan bantuan kewangan itu, mereka akan diberikan taklimat mengenai proses pembinaan semula rumah yang terjejas dalam tragedi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar di sini, hari ini.
Semalam, penduduk mendakwa belum menerima sebarang penjelasan rasmi mengenai pelan tindakan susulan daripada kerajaan atau pihak berkaitan selepas insiden sudah memasuki hari ke-20.
Biarpun terdapat maklumat awal bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalankan kerja baik pulih rumah yang rosak, namun tiada keputusan muktamad atau penjelasan terperinci mengenai spesifikasi pembinaan semula itu.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, penerangan awal berkaitan proses membaik pulih rumah mangsa turut akan diperjelaskan kepada penduduk terlibat.
“Kita telah menghantar proposal (cadangan) kepada kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pembaikan itu yang melibatkan aspek peruntukan besar. Kini, kita menunggu keputusan Kabinet dan akan maklumkan jika Jemaah Menteri sudah bersetuju nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE