LONDON – Chelsea terus menghidupkan peluang untuk melangkah ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas bangkit menewaskan Fulham 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage malam kelmarin.
Meskipun ketinggalan 0-1 pada minit ke-20 hasil jaringan Alex Iwobi, namun The Blues tidak mudah mengalah apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir menerusi Tyrique George dan Pedro Neto.
Kemenangan itu sekali gus memberi harapan buat skuad kendalian Enzo Maresca untuk menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima teratas yang menjanjikan slot ke kancah elit bola sepak Eropah.
“Kemenangan ini merupakan detik terindah buat pemain-pemain dan penyokong. Mereka berhak untuk meraikan bersama, sebab itu saya tidak menyertai mereka sebaik sahaja perlawanan hari ini (kelmarin) tamat.
“Saya agak risau kerana saya dilayangkan kad kuning selepas meraikan gol kemenangan pasukan. Walaupun ketinggalan 0-1 pada awalnya tetapi saya optimis kami mampu jaringkan gol dan ia membuahkan hasil,” kata Maresca.
Selain memastikan Chelsea terus bersaing untuk merebut tempat ke UCL musim depan, kemenangan itu turut memberi kelegaan kepada Maresca yang menerima kecaman hebat penyokong sendiri ekoran aksi hambar.
Bagaimanapun, pengendali dari Itali itu tidak perlu berasa bimbang dengan masa depannya di Stamford Bridge kerana dia masih mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi The Blues. – AGENSI