SATU demi satu karya lakonannya mendapat perhatian bukan sedikit, malah hampir semua judul yang mempertaruhkan Syafiq Kyle sebagai hero atau pelakon pembantu, tiada mengecewakan.
Kali ini, Syafiq menyerlah dengan filem aksi berjudul Blood Brothers: Bara Naga arahan Syafiq Yusof memegang watak Ariff.
Pujian boleh diberikan kepada pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak kerana berjaya menyajikan koreografi seni mempertahankan diri dengan baik.
Meskipun kelihatan sempurna, aktor berusia 33 tahun itu tetap menghadapi cabaran dalam watak tersebut lebih-lebih lagi perlu meletakkan diri sama tahap dengan Sharnaaz Ahmad dan Shukri Yahaya.
“Cabaran watak kali ini apabila saya perlu berdepan dengan Sharnaaz dan Shukri Yahaya. Mereka sering berikan lakonan dan tenaga yang terbaik.
“Jadi, cabaran buat saya untuk letakkan diri saya setanding dengan mereka sebab mereka lebih banyak pengalaman berlakon.
“Kerjasama antara saya, Shukri, Sharnaaz dan pelakon lain menjadi perkara yang paling saya sayang tentang Blood Brothers, tentang hubungan kami bukan hanya mengenai cerita sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Pemakanan
Berkongsi lanjut, suami kepada pelakon Mimi Lana itu turut memaklumkan kesemua babak aksi yang dilakonkan mendapat koreografi daripada pasukan The Defenderz dan Abhilash Chandra.
“The Defenderz gunakan silat sebagai asas dalam pertarungan dalam filem ini tetapi dimodenkan.
“Saya sendiri kena tahu sedikit tentang bunga silat dan perlawanan bukan mengenai otot tetapi stamina jantung. Kami pula buat aksi pertarungan daripada pukul 4 pagi sampai subuh.
“Cabaran lain saya kena jaga makan, tidur cukup dan rehat supaya tidak cedera. Kami juga mengambil nutrisi cukup,” ujarnya.
Berbicara mengenai nutrisi, Syafiq mendedahkan bahawa dia akan makan satu papan telur sehari untuk mendapatkan tenaga yang cukup sepanjang penggambaran berlangsung.
“The Denfenderz juga pantau pemakanan kami. Dalam satu hari, saya dan Sharnaaz akan makan 12 biji telur.
“Sepanjang penggambaran memang kami makan telur sahaja sampai produser terkejut kenapa banyak telur dalam bil.
“Selain telur, kami juga minta makanan untuk stamina seperti dada ayam atau ikan salmon,” jelasnya.
Pelakon aksi
Meskipun kerap membawa naskhah aksi, anak kelahiran Kuala Lumpur itu enggan dibayangi dengan gelaran pelakon aksi dan terbuka menerima apa pun watak yang diberikan.
“Mula-mula memang nak dikenali sebagai pelakon aksi, itu impian dahulu tetapi terus terang saya tiada genre spesifik dalam karier.
“Saya nak ada kelainan dalam setiap karya saya buat. Memang ada usaha kerana bukan nak letak saya sebagai pelakon aksi.
“Saya ada juga buat drama dan komedi cumanya, filem aksi lebih dekat dan senang bekerja. Kalau ada nak cabar watak lain, silakan,” tutupnya.