SYAWAL sememangnya dinantikan seluruh umat Islam setelah sebulan berpuasa.
Bagi perantau yang tinggal di bandar beratus kilometer dari kampung tempat dilahirkan, Hari Raya Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk golongan ini kembali ke kampung, bersalam dan memeluk erat ibu bapa dan adik-beradik yang sangat dirindui.
Kisah Mitos kali ini diceritakan seorang usahawan yang mengalami pengalaman penuh misteri semasa berkunjung ke rumah pusaka yang kini didiami abangnya.
Menurut Azli Hamzah, 53, kejadian pada petang hari raya kedua baru-baru ini diceritakannya bukan untuk membuka aib keluarga tetapi sekadar berkongsi kisah misteri yang melingkari kehidupannya semasa tinggal di rumah tersebut sejak dilahirkan.
“Sebelum insiden menimbulkan persoalan itu berlaku, saya dan isteri serta tiga anak baru sampai setelah menempuh perjalanan selama enam jam ke kampung di Kuala Kangsar, Perak dari Banting, Selangor.
“Adat kita apabila bertemu semua anak saudara dan adik-beradik termasuk anak saudara berusia 14 tahun, anak abang saya bernama Yasin, saya salam sambil kami gelak ketawa.
“Saya masih ingat wajahnya yang mirip anak lelaki saya tersenyum sambil bertanya khabar saya yang gembira dalam kepenatan,” katanya ketika ditemui di Banting baru-baru ini.
Azli berkata, setelah dipelawa makan dan minum oleh abang, dia dan keluarga mula menjamu selera di meja, mengisi perut setelah terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya berjam-jam.
Sedang dia enak mencicah lemang, dia perasan kelibat Yasin yang hilang begitu saja selepas menyambut kepulangannya tadi.
“Kebiasaannya, Yasin akan mundar-mandir melayan saya dan keluarga makan dan minum seperti hari raya sebelum ini.
“Saya tanyakan kakak ipar ke mana Yasin pergi selepas dia bersalam dengan saya sekeluarga tadi,” katanya.
Cerita Azli lagi, pertanyaan tersebut dijawab dengan pandangan pelik kakak iparnya itu.
Jelas Azli, kakak iparnya memaklumkan Yasin sedang tidur di bilik kerana kepenatan beraya dan mustahil anak bongsu daripada lima beradik itu menyambut dia di muka pintu rumah.
“Bagi merungkai misteri, kakak ipar mengejutkan anaknya itu. Sambil menggosok kedua-dua mata, Yasin keluar bilik dengan penampilan pakaian berbeza daripada sebelum dia menyambut saya,” katanya.
Azli yang tidak mahu memanjangkan kisah tersebut berkata, dia memberitahu abangnya, mungkin dirinya kepenatan dan berhalusinasi menyebabkan tersalah pandang.
Namun kata Azli lagi, abangnya sebaliknya bercerita memang ada beberapa kejadian misteri ‘orang luar’ menumpang buang air atau mandi di rumah tersebut sedangkan pintu dapur berhampiran bilik mandi itu berkunci.
“Kisah tersebut sebenarnya adalah kisah yang sudah lali walaupun semasa arwah ibu bapa saya masih ada.
“Pernah ketika kami sekeluarga sedang menonton TV di ruang tamu pada pukul 10 malam, terdengar orang mandi atau sedang mencurah air dalam mangkuk tandas.
“Namun saya tidak menyangka kali ini, makhluk tersebut menampakkan diri seperti Yasin. Adakah dia rindu sebab saya sudah lama tidak balik kampung?” ujarnya.
Mengulas lanjut insiden seram semasa dia tinggal di rumah pusaka tersebut sejak kecil, Azli berkata, difahamkan terdapat laluan masyarakat bunian dari kawasan hutan di belakang rumahnya untuk ke Sungai Perak.
Ini menyebabkan katanya lagi, kemungkinan besar makhluk yang menumpang bilik air atau tandas adalah dari dunia bunian yang tidak terlihat oleh mata kasar manusia.
“Orang luar mungkin menganggap, peristiwa misteri sedemikian menakutkan anggota keluarga saya yang tinggal dalam rumah pusaka itu.
“Pada kami sekeluarga, kejadian pelik yang berlaku beberapa kali di bilik air rumah kami itu membuktikan wujud makhluk halus sekeliling kita,” ujarnya.
Azli memberitahu, kisah Yasin dan kisah misteri lain di rumah pusaka tersebut membongkar sejarah asal usul pembukaan kampung dan tapak rumah tersebut.
Lokasi rumah itu jelas Azli, terletak di tengah-tengah atau pusat kampung yang menjadi laluan utama komuniti setempat mahupun ‘penghuni’ asal kampung yang asalnya hutan rimba.
“Rumah pusaka keluarga saya adalah antara beberapa rumah yang mula-mula didirikan sejak lebih 100 tahun lalu. Masa itu kawasan sekeliling masih dipenuhi pokok besar.
“Kebanyakan penduduk tua kampung termasuk moyang saya memiliki ilmu yang tidak diwarisi oleh generasi hari ini. Maka, tidak hairanlah jika ada anak cucu yang terkena bahana akibat tidak mempunyai ilmu setanding datuk dan moyang mereka,” jelasnya.
Bagi diri Azli, dia dan abangnya pernah belajar silat dan belajar ilmu batin dengan seorang guru dari luar kampung, maka peristiwa misteri yang tiba-tiba berulang mungkin ada kaitan dengan ilmu yang dituntut.
Cuma setelah berpuluh tahun berlalu Azli berkata,ilmu yang dituntut tidak diamal dan tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa.
“Cuma peristiwa misteri yang berlaku melibatkan saya dan anak saudara saya itu seakan mengimbas kembali zaman saya belajar silat yang dipenuhi ujian rohani dan jasmani.
“Masa belajar silat dahulu macam-macam perkara misteri saya alami.Sebagai contoh dihurung ribuan lalat ghaib semasa mandi di dalam bilik air yang sering ‘ditumpang’ makhluk misteri tersebut,” katanya.
Hingga ke saat ini kata Azli lagi, misteri yang dialaminya semasa pulang ke kampung baru-baru ini melibatkan Yasin dirasakan ada kena mengena dengan makhluk misteri tersebut.
Ini disebabkan semasa Yasin menyambutnya di muka pintu, anak saudaranya itu dilihat baru keluar dari bilik air rumah tersebut.
“Sama ada itu benar-benar Yasin, makhluk halus yang menyerupai Yasin atau lebih menakutkan ia hantu raya, wallahuaklam,” katanya.














