FESYEN bukan saja memberikan gambaran tentang rupa fizikal seorang selebriti, tetapi turut berfungsi sebagai ‘pantulan’ imej terutama kala berdepan dengan khalayak.
Disebabkan itu penyanyi bersuara lunak, Dayang Nurfaizah sangat mementingkan soal penampilan kerana bukan sahaja berfungsi membalut tubuh, tetapi turut mempunyai makna tersendiri di sebaliknya sama ada semasa persembahan atau kemunculan di mana-mana.
Kata pelantun lagu Lelaki Teragung itu, semasa membuat persembahan, pilihan warna perlu seragam dengan persembahan yang dibawakan iaitu sama ada rona terang atau gelap.
Meskipun secara peribadi wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu mengakui lebih menggemari warna ‘selamat’ seperti putih, hitam atau coklat muda, namun dia tetap menitikberatkan hal gaya di atas pentas bagi memastikan kualiti persembahan.
“Artis dan fesyen itu memang bergerak seiring dan menjadi salah satu perkara penting terutama ketika membuat persembahan. Pilihan warna gelap seperti hitam, merah gelap atau biru gelap mungkin akan dipakai untuk persembahan lagu sedih.
“Saya juga mungkin begitu, tetapi hitam yang ditambahkan warna lain seperti keemasan boleh menyerlahkan penampilan dan kelihatan lebih elegan. Segalanya bergantung kepada penyanyi itu dan bagaimana dia ingin menggambarkan lagu itu secara visual kepada penonton.
“Sementara lagu ceria pula kebanyakan akan menggunakan warna terang seperti jingga, merah, kuning atau hijau. Pilihan warna sebegini dilihat lebih sesuai kerana warna juga mampu membantu menaikkan mood seseorang,” katanya kepada CitaRasa.

Menyerahkan tugas rekaan busana kepada kepada pereka, Dayang bagaimanapun sesekali meletakkan sentuhannya dalam pakaian yang digayakan saat membuat persembahan.
Bagi Dayang secara peribadi, pakaian tersebut perlulah tidak terlalu ketat terutama pada bahagian kaki kerana bimbang akan menyukarkan saat ingin bergerak di atas pentas, apatah lagi sekiranya perlu menyusuri tangga bagi pentas bertingkat.
Pemilihan long pencil skirt pula bukan sahaja menyerlahkan keanggunan kewanitaan, tetapi turut memudahkan dirinya untuk berjalan saat membuat persembahan.
“Setiap orang ada pilihan masing-masing dan bagi saya, gaya yang dipilih itu bukan saja perlu bersifat praktikal, tetapi tetap kelihatan cantik. Sebaiknya bahagian kaki jangan ketat sebab bimbang akan mengganggu fokus untuk membuat persembahan.
“Walaupun saya penyanyi, tetapi penampilan perlu dijaga kerana mata juga perlu ‘dihidangkan’ dengan hal indah, bukan saja telinga,” katanya.
Selain itu, Dayang juga suka memilih untuk tampil dengan konsep kontemporari. Gaya rekaan peplum bukan saja diterapkan pada pakaian berbentuk tradisional, tetapi turut dipadankan dengan gaun labuh.
Pilihan gaya sebegini menyerlahkan penampilannya selain dianggap sebagai identiti ketika membuat persembahan.
Biarpun dirinya sentiasa memastikan pakaian yang dipakai cukup sempurna dan tidak lari semasa membuat persembahan, Dayang bagaimanapun mengakui dirinya seorang yang gemar memakai kemeja-T ke mana-mana.

“Cuma, kalau boleh setiap kali ingin keluar saya akan memastikan baju dan seluar walaupun jean perlu digosok terlebih dahulu. Mood saya boleh terganggu jika pakaian saya berkedut.
“Selain itu, saya juga akan mencuci rambut setiap kali ingin keluar. Selalunya saya memerlukan masa sekitar dua jam untuk bersiap kerana perlu mencuci dan mengeringkan rambut. Baju perlu digosok dan perlu mengenakan solekan.
“Setidak-tidaknya saya akan memakai gincu dan maskara sebelum bersedia keluar. Kurang-kurangnya ada tiga atau empat gincu dan maskara saya akan bawa ketika keluar. Walaupun sesekali saya sendiri mempersoalkan tindakan itu, tetapi begitulah sifat saya dan mereka yang ajak keluar itu perlu banyak bersabar,” katanya.
Selain alat solek, Dayang juga boleh dikatakan ‘kaki minyak wangi’ kerana memiliki kira-kira 50 wangian. Sejak usia remaja, Dayang sememangnya sangat meminati wangian sehingga ke hari ini.
“Waktu kali pertama saya menang pertandingan nyanyian sekitar umur 15 tahun, benda pertama yang saya beli ialah minyak wangi. Kemudian, setelah dewasa saya mula mengumpul minyak wangi dan kalau mereka yang ingin menambat hati saya bolehlah hadiahkan minyak wangi.
“Sejujurnya saya tidak tahu kenapa begitu minat dengan minyak wangi, tetapi wangian ini juga salah satu cara kita menggambarkan penampilan kepada khalayak. Lagi pun, saya juga ingin mereka di sekitar berasa selesa dan nyaman,” katanya yang gemarkan bau wangian bunga-bungaan.















