SEGAMAT – Adik kepada mangsa kemalangan bas di dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, tidak menyangka kakak sulung pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.
Menurut Muhammad Haziq, 15, mereka sekeluarga menerima perkhabaran duka itu apabila pihak universiti menghubungi ibu, Hariah Ahmad, 46, dan bapa, Karim Sulaiman, 41, yang sedang berniaga di kawasan memancing di Taranum, Felda Chempelak, Labis di sini.
“Mak dan ayah berniaga kedai makan bermula waktu pagi sampai ke malam kadang-kadang mula petang sampai malam.
“Masa pihak universiti hubungi, masa itu memang tak percaya, kami berharap kakak selamat dan cedera biasa, tak lama dapat tahu yang kakak dah meninggal akibat cedera parah.
“Tak sangka kakak merupakan anak harapan keluarga pergi meninggalkan kami sekeluarga,”katanya ketika ditemui di Felda Chempelak di sini hari ini.

Muhammad Haziq berkata, selepas mengetahui berita menimpa Manarina Hasya, ibu dan bapa serta kakak kedua, Nur Fikriah, 17, terus bergegas menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru untuk ke Subang sebelum ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Muhammad Haziq yang merupakan anak ketiga itu berkata, arwah kakaknya merupakan anak sulung daripada empat beradik merupakan seorang kakak yang tegas dan penyayang.
Ujarnya, kakaknya sering berpesan agar mereka adik-beradik belajar rajin-rajin agar apabila dewasa kelak dapat peluang kehidupan yang baik dan membantu keluarga.
“Kakak selalu berpesan supaya kami belajar bersungguh-sungguh, kena rajin belajar jangan berhenti, kena belajar sampai habis kalau berhenti susah nak dapat kerja.
“Memang saya akan sambung belajar, saya akan ingat pesan kakak untuk sambung belajar sama macam kakak,”katanya.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felcra Bukit Kepong itu berkata, kenangan kali terakhir bersama kakaknya itu ketika menyambut hari raya Aidilfitri hujung bulan lalu.
Jelasnya, mereka sekeluarga teruja apabila dapat merakam gambar kenangan terakhir satu keluarga bersama-sama keluarga besar sebelah ibunnya.
“Itu adalah gambar pertama dan terakhir kami dapat bergambar satu keluarga, kalau tidak susah nak ambil gambar ramai-ramai.
“Masa itu kami beraya di kampung nenek belah mak di Felcra Bukit Kepong,”katanya.
Jenazah Manarina Hasya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chempelak, Labis di sini kira-kira lewat malam ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HSB pada pukul 6.30 petang hari sama. – KOSMO! ONLINE