fbpx
Semakin ramai rakyat Malaysia ke Almaty untuk melancong termasuk bermain ski memandangkan aktiviti itu tiada di tanah air dan boleh didapati dengan harga ‘mesra poket’.

Almaty syurga luncur ski ala ‘marhaen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN selama 30 minit menaiki gendola dari Medeu Cable Car menuju ke Shymbulak Ski Resort di Almaty, Kazakhstan memberi persepsi baharu kepada anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu terhadap pesona bumi Asia Tengah.

Manakan tidak, sebelum ini pemilik nama Wee Yun Nee, 28, hanya diceritakan mengenai keseronokan meluncur ski di Jepun dan Switzerland sahaja tanpa mengetahui tentang kekayaan ‘gunung salju’ di Almaty.

Kata wanita itu yang sering disapa dengan panggilan Mek Yun, perjalanannya menaiki gendola dengan menelusuri gunung-gunung salji berwarna putih seakan melihat lukisan yang indah.

“Sejujurnya, sepanjang menaiki gendola menuju ke Shymbulak Ski Resort, ia seakan melihat lukisan hidup yang dilukis indah, gunung salji memutih dengan pohon hijau begitu mendamaikan perasaan saya.

“Memandangkan ini pengalaman pertama bermain ski, perasaan saya begitu teruja dan terkejut kerana tidak menyangka Almaty mempunyai tempat secantik ini seperti destinasi popular lain,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Untuk rekod, Almaty merupakan antara bandar utama terletak di Kazakhstan di mana negara itu mempunyai demografi yang kaya dengan kawasan gunung selain bersempadan dengan China dan Rusia.

Bercerita lanjut, Mek Yun berkata, keputusan merasai pengalaman bermain ski di Almaty dibuat berikutan destinasi itu menawarkan harga paling berpatutan selain mesra poket golongan ‘marhaen’.

Ceritanya, kos yang perlu dibayar seperti harga tiket masuk, sewaan peralatan dan makanan ketika berada di kawasan resort masih berpatutan jika dibandingkan destinasi ski di negara lain.

“Pemandangannya juga setanding lokasi di Jepun dan Switzerland, tetapi harga yang perlu dibayar lebih murah.

“Cuaca juga tidak terlalu ekstrem, maka ia sesuai untuk mereka pertama kali ingin mencuba bermain ski selain mempunyai banyak tahap bermula daripada pemula hingga profesional,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nor Afifi Mohd. Razi, 37, pula menyifatkan, Almaty sebagai destinasi bermain ski yang perlu dirasai oleh setiap pelancong khususnya rakyat Malaysia.

“Selain harganya yang murah dan pemandangan indah, penduduk Kazakhstan juga begitu peramah, sekali gus membuatkan kita berasa lebih diterima di sini.

“Sebagai contoh, apabila saya mahu menyewa peralatan bermain ski, mereka begitu baik melayani segala permintaan dan membantu sekiranya ada saiz perlu ditukar,” katanya.

Kata anak kelahiran Johor itu, meskipun sukan ski tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana dianggap mahal, namun tanggapan itu boleh diubah di Almaty.

Ramai pengunjung dari Rusia dan Poland ke Almaty untuk bermain ski.

Katanya, aktiviti itu lebih dilihat lebih mampu milik di negara Asia Tengah berikutan nilai mata wang Kazakhstan yang menyamai ringgit Malaysia.

“Sebenarnya, bermain ski di Shymbulak merupakan pengalaman pertama saya, meskipun sedikit gementar, namun kawan-kawan banyak membantu.

“Selain itu, Almaty juga kini lebih mudah diakses dari Kuala Lumpur kerana mempunyai penerbangan terus menggunakan pesawat Air Asia X, seterusnya dapat menjimatkan kos,” katanya.

Sebagai maklumat, setakat Februari lalu, lebih 97,525 penumpang telah terbang secara terus antara Kuala Lumpur dan Almaty, seterusnya menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Tambah Mohd. Noor Afifi, dia juga berhasrat untuk kembali ke bumi Almaty kelak memandangkan negara itu mempunyai pelbagai keunikan, apatah lagi majoriti penduduk beragama Islam.

“Selain keunikan landskapnya, makanan di Almaty juga begitu enak apabila banyak makanan halal ditawarkan seperti daging kuda yang menjadi menu tradisi mereka.

“Pada masa sama, seni bina negara itu turut dipengaruhi dengan peninggalan Soviet Union, sekali gus menawarkan pemandangan indah lebih-lebih lagi apabila dilitupi salji,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut pengurus pelancongan, Abzal Yesmakhan, terdapat beberapa lokasi di Almaty menawarkan aktiviti ski, manakala Shymbulak Ski Resort paling menjadi pilihan.

Antara destinasi lain termasuklah Ak- Bular, Kok-Shoky Village dan Qi Qaragai Lesnaya Skazka yang menawarkan pengalaman meluncur salji antara jarak 1 hingga 20 kilometer.

Menurut Abzal lagi, waktu terbaik menikmati pengalaman meluncur salji khususnya di Almaty ialah pada November hingga pertengahan April.

“Secara kebiasaannya, pelancong Malaysia yang ingin menikmati pengalaman itu perlu membayar tiket harian sekitar AS$47 (RM209) bagi bermain ski antara pukul 8 pagi hingga 2 petang.

“Sementara itu, bagi pengalaman bermain ski pada waktu malam bermula pukul 6 petang hingga 1 pagi, nilai perlu dibayar ialah sekitar AS$35 (RM156),” katanya.

Sewa set peralatan lengkap untuk bermain ski seperti pakaian sejuk, sarung tangan, kasut ski, luncur ski, helmet keselamatan dan cermin mata pula ialah sekitar AS$35 (RM156).

Untuk makluman, anggaran perbandingan harga sewa peralatan ski di Jepun adalah lebih tinggi antara RM250 ke RM350 dan lif ski RM200, manakala di Switzerland sewa peralatan RM269 dan lif ski RM323.

Kata Abzal, pakej ski di Almaty boleh dikategorikan sebagai mesra poket jika dibandingkan negara lain, sekali gus menjadi tumpuan pelancong untuk ke negara itu.

“Selain Malaysia, aktiviti ski di Almaty turut menjadi pilihan pelancong seperti Russia dan Poland memandangkan harga ditawarkan lebih berpatutan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN