fbpx
SAFRI menunjukkan antara koleksi pakaian wanita yang sesuai digayakan untuk berkunjung ke rumah terbuka ketika tinjauan semalam.

Syawal habis, baju raya Jalan TAR turun harga 70 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Para peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini menawarkan potongan harga besar-besaran bagi menghabiskan stok baju raya memandangkan Syawal akan berakhir 10 hari lagi.

Tinjauan Kosmo! mendapati ada peniaga yang menurunkan harga pakaian sehingga 70 peratus selain menjual tiga pasang baju pada harga RM100.

Penolong pengurus premis pakaian, Safri Anuar, 42, berkata, pihaknya terpaksa mengambil langkah itu bagi menarik pembeli kerana jualan merudum selepas Ramadan.

“Ketika bulan puasa, jualan sangat tinggi mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sehari kira-kira dua minggu menjelang raya. Namun selepas Aidilfitri, jualan teruk nak dapat RM1,000 hingga RM1,500 sehari pun susah.

“Kadang-kadang dapat (jualan) RM700 hingga RM800 sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Safri, pihaknya me­nyasarkan pelanggan yang mencari pakaian untuk kenduri atau majlis rumah terbuka selain bergantung dengan platform online seperti TikTok bagi melonjakkan semula jualan.

Katanya, jualan secara dalam talian agak memberangsangkan sehingga mencecah RM6,000 sehari.

“Jika nak harapkan pe­langgan datang ke kedai, memang kurang lebih-lebih lagi pada hari bekerja. Jadi platform dalam talian jadi alternatif,” katanya yang memberitahu promosi tersebut akan diteruskan sehingga Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, pembantu kedai, Laila Warsito, 40, turut me­ngakui jualan pakaian selepas Hari Raya Aidilfitri merudum menyebabkan pihaknya terpaksa membuat jualan lelong.

“Sebelum raya memang ramai pelanggan datang membeli pakaian, tetapi selepas Aidilfitri memang banyak berkurangan. Promosi turun harga akan dilakukan bagi menghabiskan stok.

“Kami juga akan melakukan lelongan habis-habisan selepas raya bagi menarik pembeli. Bia­sanya selepas raya, pakaian yang tinggal kebanyakannya bukan saiz dan warna pilihan pelanggan,” katanya.

Situasi sama turut dikongsi pengurus kedai, Limah Mohamad, 49, yang memaklumkan, jualan agak perlahan selepas sambutan Aidilfitri menyebabkan pihaknya melakukan promosi harga.

“Walaupun kami masih beroperasi seperti biasa, pelanggan yang datang ke kedai tidak seramai sebelum ini (raya).

“Hari biasa memang lengang, tetapi hujung minggu sedikit sibuk kerana pelanggan cari pakaian untuk berkunjung ke rumah terbuka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN