fbpx

Penduduk Kampung Sungai Baru perlu lantik peguam, pertahankan hak – NGO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika mengadakan sidang akhbar berkenaan isu Kampung Sungai Baru di sekitar Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur menggesa penduduk Kampung Sungai Baru di Kampung Baru melantik peguam supaya pembangunan semula kawasan itu disegerakan.

Ini kerana kata Pengerusinya, Hussen Zulkarai setakat ini tiada sebarang pembangunan di kawasan tersebut dilaksanakan oleh pihak pemaju yang dilantik sehingga menyebabkan kawasan itu terus terbiar dan tidak terurus.

Malah lebih mengecewakan katanya, flat yang menempatkan ratusan penghuni sebelum mereka diusir keluar kini tidak ubah seperti ‘rumah hantu’ dan dipenuhi semak samun.

“Penduduk Kampung Sungai Baru perlu bertindak, lantik peguam yang betul-betul boleh membantu. Sampai bila kita nak lihat flaf ini terbiar?

“Sebab ini hak mereka (penduduk). Mereka berhak melawan isu ini sebab penempatan mereka sudah menjadi ‘hutan’ dan ‘rumah hantu’ yang sepatutnya dah lama siap (dibangunkan semula kawasan itu),” katanya ketika ditemui di flat tersebut.

Mengulas lanjut, Hussen berkata, Ahli Parlimen daripada kerajaan sebelum ini juga perlu bertangungjawab atas kegagalan pembangunan semula kawasan flat tersebut.

“Mereka perlu tampil beri penjelasan kenapa kawasan itu belum dibangunkan lagi seperti mana janji-janji mereka sewaktu menjadi kerajaan.

“Bekas menteri-menteri yang pernah berjanji dengan penduduk di sini usahlah berdiam diri dan menyorokkan kebenaran.

“Jangan aniaya lagi penduduk di sini (Kampung Sungai Baru) kerana punca semua masalah ini juga bermula sejak Perikatan Nasional menjadi kerajaan sebelum ini,”dakwanya.

Isu Kampung Sungai Baru timbul apabila kerajaan merancang untuk mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan semula melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Namun sebahagian penduduk membantah tindakan itu kerana mendakwa nilai pampasan yang diberikan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa pada sidang Parlimen sebelum ini memaklumkan bahawa usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan APT 1960 bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI