DIHARAMKAN bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab munasabah. – GAMBAR HIASAN

Suami larang isteri jumpa keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK berkahwin, suami melarang saya bertemu dengan keluarga saya. Saya sangat rindu pada keluarga. Adakah saya wajib mentaati suami dan berdosakah sekiranya saya bertemu dengan keluarga secara sembunyi?

JAWAPAN: ULAMA bersepakat bahawa antara perkara yang menjadi kewajipan isteri untuk mentaati suaminya adalah melayani suaminya dan sentiasa tinggal di rumah suaminya. Pada asalnya, isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya iaitu bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami dan isteri) tanpa sebab yang syarie melainkan dengan keizinan suaminya. Hal ini sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang menyebutkan: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam, maka izinkanlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan ia adalah dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya (sekalipun ke masjid) tanpa keizinan daripada suaminya. (Rujuk: Fath al-Bari, 2/347)

Justeru, isteri hendaklah memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi ibu bapanya. 

Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW dalam peristiwa hadis al-ifk (peristiwa fitnah kepada Aisyah) iaitu ketika Aisyah meminta izin kepada Baginda untuk pulang ke rumah ibu bapanya. Aisyah berkata kepada Nabi SAW: “Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi ibu bapaku? Lalu ‘Aisyah berkata ketika meriwayatkan peristiwa itu: Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua-dua mereka.” Maka Rasulullah SAW mengizinkan daku. (Riwayat al-Bukhari, 4141 dan Muslim, 2770)

Para ulama Hanafi dan Maliki menyatakan larangan mengenai suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganya. (Rujuk: Al-Bahr al-Raiq, 4/212; Al-Taj wa al-Iklil,5/549) 

Manakala ulama mazhab Syafie dan Hanbali menyatakan harus bagi suami untuk melarang isterinya untuk menziarahi keluarganya tetapi yang lebih baik adalah tidak menghalangnya. (Rujuk: Asna al-Matalib, 3/239; Al-Insaf, 8/362)

Berkata Shaikh Mahmoud Al-Shalabi: “Adalah tidak diharuskan syarak seorang suami yang menghalang isterinya untuk menziarahi keluarganya atau menghalang keluarganya untuk menziarahi isterinya kerana perbuatan ini adalah haram dan boleh menyebabkan terjejasnya hubungan kekeluargaan dan terputusnya silaturahim.” 

Hal ini kerana perbuatan memutuskan silaturahim sangat dimurkai oleh Allah sebagaimana firman-Nya: “(Sekiranya kamu tidak mematuhi perintah Tuhan) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kekuasaan, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah, ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: 22-23)

Oleh itu, jelaslah bahawa hukum suami melarang isterinya untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab yang munasabah di sisi syarak adalah haram. 

Namun, sekiranya suami menghalang isterinya untuk menziarahi kaum kerabatnya kerana bertujuan untuk mengelakkan kemudaratan ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 3/432; Kasysyaf al-Qina’, 3/117)

Sementara itu, para ulama menyatakan wajib bagi isteri untuk mentaati perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak. 

Begitu juga ketika suami menghalangnya untuk menziarahi kedua-dua ibu bapanya kerana kedudukan suami lebih tinggi daripada kedua-dua ibu bapa sebagaimana hadis tentang ‘Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini.

Namun begitu, sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak, maka sesetengah ulama menyatakan ia diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.

Setelah meneliti perbahasan di atas dapat kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara. Diharuskan bagi isteri untuk keluar menziarahi keluarganya sekalipun tanpa izin suaminya sekiranya ada hajat yang penting seperti menziarahi ibu bapanya yang sakit atau memberi khidmat kepada mereka sekiranya mereka sangat memerlukan dengan tujuan untuk menyelesaikan hajatnya sahaja. 

Adapun pada keadaan yang lain maka ia tidak diharuskan kerana kewajipan isteri kepada suami adalah lebih besar daripada kedua-dua orang tuanya.

Diharamkan bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab yang munasabah di sisi syarak kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan. 

Adapun sekiranya larangan tersebut adalah kerana khuatir akan mudarat ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan. Wallahu a’lam.

Kami juga menasihatkan para suami supaya bergaul dengan isterinya dengan cara yang makruf (baik) sebagaimana firman Allah S.W.T: “Dan bergaullah dengan mereka (yakni isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang makruf yakni baik.” (Surah Al-Nisa’, 19)

Larangan kepada isteri untuk menziarahi keluarganya apatah lagi ibu bapa yang telah membesarkannya bukanlah satu bentuk pergaulan dengan cara yang makruf kerana hal itu boleh menyakiti pihak isteri dan kaum keluarganya. 

Para suami seharusnya membantu para isteri untuk menyambung silaturahim dengan kaum kerabatnya kerana hal tersebut boleh memasukkan kegembiraan ke dalam hati isteri. 

Hal ini juga adalah kerana menyambung tali silaturahim adalah sebesar-besar ketaatan kepada Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN