DI Malaysia, arena sukan permotoran amat sinonim dengan kaum lelaki.
Namun tidak bagi, Saidatul Zakirah Zairin, dia merupakan antara wanita yang berani untuk menceburi sukan permotoran.
Dia ingin membuktikan bahawa kaum Hawa juga boleh terlibat dalam sukan penuh adrenalin tersebut.
Dia yang lebih dikenali sebagai Kirah menjadi ‘permata baharu’ dalam arena sukan permotoran negara apabila telah mencatatkan kejayaan yang boleh dibanggakan.
Kirah juga telah mencipta satu sejarah apabila menjadi wanita pertama di dunia yang berjaya menaiki podium di Kejohanan Qatar Superstock 600 (QSTK) dengan meraih tempat kedua dalam perlumbaan kedua bagi kategori Qatar Supersport 300 (QSSP) di Litar Antarabangasa Losail di Doha, Qatar pada Februari lalu.

Malah bukan itu sahaja, dia yang akan menginjak usia 18 tahun pada 8 ogos ini turut mengharumkan nama negara apabila menjadi pelumba wanita Asia pertama yang menyertai Kejohanan Motosikal Wanita Eropah (WEC) pada 2024.
Selain itu, pada tahun ini juga gadis manis itu akan mewakili pasukan HI-REV Triple Zed Racing dalam MSF Superbike Championship 2025 dan akan bertanding dalam kategori Rookie.
Menceritakan tentang minatnya dalam sukan permotoran, Kirah yang merupakan warga Malaysia dilahirkan di Brunei berkata, dia jatuh cinta dengan sukan itu sejak kecil lagi.
Menurutnya, ketika berumur 5 tahun dia berpindah ke Doha, Qatar kerana mengikut bapanya yang bekerja sebagai Senior Marine Surveyor di sebuah syarikat cari gali minyak di sana.
“Ketika di sana, setiap tahun ayah akan membawa saya untuk melihat perlumbaan MotoGP, Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
“Pada ketika itu, saya ada melihat pelumba Malaysia seperti Khairul Idham Pawi, Zaqhwan Zaidi yang menyertai perlumbaan ARRC. Apabila melihat mereka berlumba, saya mula minat dan teringin untuk mencuba,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Tambahnya, itulah yang menjadi permulaan bagaimana di mula jatuh cinta dengan sukan permotoran.
PADA usia 11 tahun, Kirah mula menyertai Qatar Motosports Academy (QMA) bagi membolehkan dirinya belajar untuk mengejar impiannya untuk menjadi seorang pelumba.
Malah, ibu dan bapanya, Sakhinalina Ahmad Bakhi dan Zairin Mohamad Salleh amat menyokong minatnya itu.
Di akademi tersebut, dia mula belajar menunggang motosikal Suzuki DRZ70 dan Kirah mengambil sedikit masa untuk menguasai jentera itu.
“Di Qatar, pelumba baharu seperti saya berhadapan dengan cabaran untuk berlatih memandangkan cuaca di sana tidak seperti di negara kita.
“Di sana, cuaca terlalu panas selama enam bulan dan sepanjang tempoh itu saya tak boleh berlatih dan kemudian akan mula berlatih balik selepas enam bulan dan saya mula kekok dan perlu belajar dari awal kembali,” ujarnya.
Tambahnya, itu tidak bagus untuk perkembangan kariernya untuk menjadi seorang pelumba. Hal tersebut telah mendorong Kirah mengambil keputusan drastik untuk pulang ke tanah air bersendirian pada tahun 2021 ketika berusia 14 tahun bagi membolehkannya mengejar impiannya untuk menjadi seorang pelumba profesional.

Dia berbuat demikian bagi membolehkannya untuk menyertai Malaysian Cub Prix.
Di Malaysia ketika itu dia tinggal bersama nenek dan ibu saudaranya di Ipoh, Perak.
“Saya menyertai perlumbaan One Make Race dan saya dapat menimba pengalaman yang sangat baik dalam perlumbaan itu.
“Kemudian pada tahun 2022 saya menyertai kategori WIRA KBS dan pada hujung 2022 saya menyertai perlumbaan Malaysia Superbike Championship,” terangnya yang menerima anugerah Pelumba Terbaik Wanita 2024 pada Motorsports Association of Malaysia (MAM) Night Award 2024.
Untuk mengejar impiannya itu, Kirah menjelaskan, sejak umurnya 14 tahun, dia telah berdikari sendiri untuk berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur bagi menyertai latihan setiap hujung minggu.
“Keluarga saya di Qatar dan saya pulang untuk mengejar cita-cita untuk menjadi pelumba profesional di Malaysia.
“Kini saya tinggal di kediaman milik ayah saya di Puchong, Selangor bagi membolehkan saya mudah untuk menjalani latihan,” kata wanita berhijab itu.
Dalam pada itu, Kirah menjelaskan, dia tidak menjangkakan bahawa dirinya terpilih untuk menyertai Kejohanan Motosikal Wanita Eropah (WEC) pada 2024.
Untuk kejohanan itu dia mewakili pasukan GP3 AD11 yang berpangkalan di Itali.
“Pasukan ini sebenarnya memang ingin mencari pelumba muda dari negara lain untuk menyertai WEC.
“Mereka menghubungi saya di Instagram dan menyatakan mereka berminat dengan saya dan mahu saya menyertai pasukan mereka.
“Ini yang menjadi detik yang membuka jalan saya terlibat dalam perlumbaan WEC pada tahun lalu,” ujarnya.
Malah, pasukan itu menawarkannya untuk beraksi bersama mereka untuk tahun ini dalam WEC yang turut berlangsung baru-baru ini di Itali.
Dia mendapat kedudukan lima terbaik dalam perlumbaan tersebut.
Ketika ditanya tentang matlamat masa depannya di dalam sukan permotoran, Kirah menjelaskan dia meletakkan sasaran untuk menyertai perlumbaan FIM Women’s Circuit Racing World Championship (WorldWCR) terlebih dahulu.
“Saya akan belajar meraih pengalaman dalam perlumbaan WEC terlebih dahulu dan baru saya ingin menyertai WorldWCR.
“Saya perlukan lebih latihan lagi dan tahun ini saya telah masuk untuk perlumbaan 600cc dan untuk WorldWCR jentera yang akan digunakan adalah 700cc,” ulasnya.

Dalam pada itu, di dalam sukan permotoran Kirah menjelaskan dia tidak terlepas daripada risiko untuk terjatuh ketika perlumbaan.
Malah, dia sendiri telah beberapa kali terjatuh di dalam perlumbaan sehingga menyebabkan kecederaan tetapi itu langsung tidak akan mematahkan semangatnya.
“Sukan permotoran ini memang mempunyai risiko dan saya sendiri sudah beberapa kali terjatuh ketika berlumba.
“Ibu bapa saya risau setiap kali saya terjatuh, tetapi untuk diri saya, ia tidak ada masalah kerana inilah perkara yang saya perlu tempuh dalam mengejar cita-cita menjadi pelumba profesional,” jelasnya.
Sementara itu, meskipun sibuk untuk mengejar impian di dalam sukan permotoran, Kirah juga tidak melupakan aspek pelajaran.
Oleh itu, dia memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Advance Tertiary College di Kuala Lumpur.
“Pada saya pelajaran amat penting kerana saya sendiri tidak mengetahui karier saya dalam sukan permotoran akan boleh pergi selama mana. Jadi saya melengkapi diri saya dengan pendidikan yang boleh saya gunakan jika karier saya di dalam sukan ini berakhir.
“Saya memilih untuk belajar undang-undang dan menaruh cita-cita untuk menjadi peguam di dalam bidang sukan,” jelasnya.
Tambahnya, dia mahu membantu para atlet memahami dengan baik dalam setiap perjanjian kontrak yang ditandatangani.
















