KUALA LUMPUR – Nuuna bakal membawa 10 peminat bertuah untuk bersama-sama ke sesi ‘Exclusive Private Fansign Nuuna Bersama Treasure’, sempena lawatan ketiga kumpulan K-Pop itu ke Malaysia selepas kejayaan siri jelajah konsert pada tahun 2023 dan 2024.
Syarikat pengeluar pelbagai jenama beras antaranya Jati, Serba Wangi Sdn Bhd (Serba Wangi) dalam kenyataan berkata, Nuuna yang merupakan produk bihun goreng segera miliknya menyediakan sesi istimewa tersebut bertujuan mempererat hubungan antara artis dan peminat serta mencipta kenangan manis dalam suasana eksklusif.
“Nuuna akan membawakan Choi Hyun Suk, Doyoung, Haruto dan Park Jeong Woo secara eksklusif untuk bertemu peminat-peminat setia ke ibu negara pada Jumaat, 30 Mei 2025.
“Untuk bertemu secara eksklusif bersama Treasure, peminat dikehendaki menghantar penyertaan dengan membeli sekurang-kurangnya satu pek produk Nuuna dan tempoh penyertaan bermula 14 April hingga 18 Mei 2025,” katanya.
Langkah penyertaan adalah mudah, beli dan hantar sekurang-kurangnya satu pek produk Nuuna (mana-mana perisa) dengan resit yang sah dan asli (bukti pembelian) dari mana-mana kedai dalam talian atau luar talian di Malaysia.
Kemudian, ambil gambar produk Nuuna dan muat naik ke Facebook, Instagram, TikTok atau laman X masing-masing dengan ‘hashtag’ #NuunaBersamaTreasure dan ‘tag’ media sosial rasmi @nuunamalaysia.
Keputusan bagi 10 peminat bertuah akan diumumkan pada 24 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE