WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump akan memotong perbelanjaan tahunan jabatan kesihatan persekutuan Amerika Syarikat(AS) sekitar satu pertiga ataupun AS$40 bilion (RM176.4 bilion), lapor akhbar The Washington Post semalam yang memetik draf dokumen belanjawan negara.
Perkara itu terkandung dalam pelan kewangan awal yang masih memerlukan kelulusan Kongres.
Pemotongan peruntukan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) itu dirancang ketika Trump dan penasihat kanan beliau, Elon Musk melaksanakan pengurangan besar-besaran dalam perbelanjaan kerajaan pusat.
Pemotongan AS$40 bilion yang dicadangkan untuk bajet 2026 itu akan mengurangkan dengan ketara peruntukan kesihatan berjumlah AS$121 bilion(RM533.8 bilion) yang diluluskan Kongres pada 2024.
‘Perbelanjaan mengikut budi bicara’ itu jauh lebih kecil daripada peruntukan mandatori mencecah ratusan bilion, terutamanya untuk program insurans kesihatan awam, Medicare dan Medicaid, menjadikan jumlah belanjawan HHS kepada sekitar $1.8 trilion(RM7.9 trilion).
Penstrukturan semula secara besar-besaran melibatkan HHS idiumumkan pada Mac lalu termasuk mengurangkan 25 peratus kakitangannya.
Pemberhentian pekerja turut melanda agensi-agensi utama di bawah pengawasan HHS termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) yang memerangi wabak dan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), bertanggungjawab meluluskan ubat baharu.
Bajet dicadangkan oleh Trump ini ‘meminta bukan sahaja pemotongan, tetapi rombakan besar-besaran dan penstrukturan semula agensi kesihatan serta perkhidmatan manusia’, kata The Washington Post. – AGENSI