fbpx
Kuala Sangga adalah salah satu muara sungai yang menjadi lokasi pancingan pilihan tekong Jebat.

Selinsing lokasi pancing muara penuh nostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak 30 tahun lalu, nama muara di Selinsing, Perak ini cukup sinonim dengan kaedah mengilat ikan menggunakan umpan ikan jenjulung atau udang hidup.

Kini, lapisan tekong-tekong generasi baharu telah menambah baik teknik mengilat dengan menggunakan pelbagai jenis gewang tiruan dan persembahan umpan udang hidup untuk menggoda penghuni reba-reba berselirat di sana.

Antara tekong yang bergiat aktif di sana ialah Ahmad Hasnan atau popular di laman Facebook sebagai Ahmad Jebat.

Bot pancingnya sesuai untuk tiga hingga empat orang pemancing dengan dipacu enjin sangkut 60 kuasa kuda dan diparkir di jeti Pengkalan Lubuk Buntar.

Kebiasaannya, perkhidmatan memancing yang disediakan Jebat akan bermula dari pukul 8.30 pagi sehingga pukul 6 petang. Dia turut menyediakan bekalan umpan udang hidup untuk pelanggannya.

Kawasan pancingannya adalah dari pengkalan bot tersebut ­se­hinggalah ke Kuala Sepetang dan muara Selinsing serta kawasan di sekitarnya.

Tekong Jebat dengan kerapu yang tergoda dengan umpan udang hidup dimainkan di reba.

Teknik pancingan utama apabila menaiki botnya adalah mengilat, tidak kira menggunakan gewang tiruan mahupun udang hidup.

Gewang vs udang hidup

Satu ketika dulu, Jebat hanya mengaplikasi 100 peratus teknik mengilat dengan pelbagai gewang tiruan, namun kini pilihan pelanggannya rata-rata lebih ke arah penggunaan udang hidup yang dibaling tarik (casting).

Menurutnya, kebelakangan ini, ikan-ikan di kawasan pancingannya lebih tertarik kepada umpan udang hidup berbanding gewang tiruan.

Mungkin kerana ramai peman­cing yang menyewa perkhidmatan bot lain menggunakan udang hidup.

Seperkara lagi, mungkin faktor kos pembelian gewang tiruan mahal dan peratusan tersangkut ke dalam reba lebih tinggi berbanding udang hidup yang dipersembahkan secara kalis sangkut.

Ini menyebabkan ramai peman­cing tawar hati menggunakan gewang berbanding udang hidup.

Namun, dia masih terbuka jika pemancing yang menaiki botnya menggunakan gewang atau udang hidup.

Kebiasaannya, pelanggan Jebat menggunakan kedua-dua teknik bagi meningkatkan lagi kebarangkalian mendapat ikan.

Lokasi yang menjadi tumpuan mengilat adalah kawasan bereba banat di sepanjang tebing sungai.

Oleh itu, set pancing perlu ampuh untuk menangani ikan di kawasan berstruktur padat sebegitu.

Tambahan pula, cabaran dari struktur keras dan tajam yang diselaputi teritip pastinya akan membuatkan tali pancing putus. Lebih-lebih dengan tenaga dan benaman spesies ikan yang tinggal di kawasan muara ini.

Ikan yang menjadi target utama pemancing di kawasan sebegini adalah jenahak, se­nangin, kurau, kerapu, sembilang dan pelbagai lagi.

Tangkapan yang biasa didapati sudah tentulah dua spesies ikan tersohor di kawasan muara iaitu siakap putih dan siakap merah.

Peralatan tempur

Set pancingan yang ideal tidak kira set spinning atau baitcaster haruslah kuat. Joran kelas 10-20lb atau 15-30lb paling ideal dipertaruhkan dengan kekili yang boleh memuatkan tali utama minima 30lb dan perambut serap kejutan 50lb.

Paling penting, pemancing tidak perlu takut kerana setiap reba yang berpotensi haruslah diterjah barulah dapat ‘selongkar’ penghuninya.

Gewang atau umpan udang hidup perlu masuk terus ke dalam reba dan meniti di atasnya untuk mendapatkan sergapan ikan.
Ikan dapat dikeluarkan atau tidak dari kawasan reba jatuh nombor dua.

Itulah cara mengilat di muara dan cabarannya. Barulah datang keseronokkannya.

Kuat melawan selalunya menjadi sandaran untuk menaikkan ikan. Kadangkala, pemancing harus bertahan apabila ikan menusuk jauh ke dalam
reba.

Bot akan menghampiri dan secara perlahan-lahan ikan akan dikeluarkan dari reba. Sebab itulah perlu tali utama dan perambut yang kasar supaya dapat bertahan daripada lelasan struktur reba.

Gewang

Oleh kerana soft plastic boleh dipersembahkan secara kalis sangkut (weedless), maka ia merupakan gewang yang menjadi pilihan utama. Baik jenis ekor paddle tail (bentuk pendayung) atau straight (lurus), kedua-duanya sesuai digunakan dengan saiz tiga inci paling ideal. Ini kerana menurut Jebat, itu saiz normal kebanyakan ikan-ikan kecil atau udang yang menjadi makanan ikan pemangsa di tempatnya.

Siakap putih saiz kasar menjadi idaman setiap pemancing yang berkunjung ke Selinsing.

Warna soft plastic sudah tentunya yang terang seperti putih, pink dan chartreuse kerana air di muara biasanya tidak sejernih air laut. Rigging paling sesuai adalah Texas rig iaitu batu ladung hidup bentuk kon dengan worm hook atau hanya worm hook tanpa ladung.

Bagi hard lure pula, terbuka untuk menggunakan minnow atau deep diver. Paling penting adalah menukar mata tiga gewang kepada mata tunggal. Gewang warna terang dan warna seperti ikan belanak menjadi keutamaan.

Kelemahan gewang jenis ini adalah kekerapan tersangkut pada reba adalah tinggi. Ia lebih sesuai dimainkan di kawasan sedikit terbuka.

Masa terbaik

Jebat tidak selesa membawa pemancing lebih-lebih lagi ketika keadaan air tidak sesuai seperti sewaktu air besar.

Ini kerana ketika itu, air muara menjadi sangat keruh akibat tujahan arus yang laju di kawasan berselut.

Tekong hanya utamakan ketika air mati kerana itulah masa terbaik untuk mengilat disebabkan perubahan masa surut ke pasang dan pasang ke surut tidak ketara sangat. Maka pemancing ada banyak masa untuk mengilat.

Di dalam kalendar Hijrah, ada dua kali keadaan air mati dalam sebulan.

Selain itu, ketika air perlahan atau rendah iaitu pada awal bulan antara lima hingga 11 Hijrah serta hujung bulan antara 19 hingga 26 Hijrah.

Awal atau lewat sehari dari tarikh tersebut juga masih boleh dilakukan pancingan di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN