fbpx

Sambutan Aidilfitri MINDEF santuni warga pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Kementerian Pertahanan kelmarin.

KUALA LUMPUR – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pe­ringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF) Tahun 2025 di Kem KEMENTAH, di sini kelmarin berlangsung dalam suasana penuh harmoni dengan fokus menyantuni warga pertahanan yang kurang bernasib baik.

Majlis yang dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar itu merupakan acara tahunan Kementerian Pertahanan bagi merapatkan ukhwah antara warga pertahanan sambil meraikan kemeriahan Aidilfitri.

Hadir pada majlis yang disambut secara sederhana itu adalah Pangl­ima Angkatan Tentera, Jene­ral Datuk Mohd. Nizam Jaffar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali bersama isteri, Datin Wan Razanawani Wan Zakaria.

Turut hadir memeriahkan maj­lis ialah Ahli Jemaah Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Duta-duta Asing dan Pesuruhjaya Tinggi, Panglima-pang­lima Perkhidmatan, warga awam Kementerian Pertahanan, serta pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamed Khaled membaca doa tahlil untuk Perdana Menteri Malaysia Ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Majlis tersebut menyaksikan penyampaian Sumbangan Hari Raya berupa wang tunai RM500 secara one-off kepada 30 orang penerima warga pertahanan yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, turut menerima sumbangan ialah lapan orang anak-anak Veteran ATM yang berjaya me­lanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah, melibatkan Bantuan Kebajikan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi de­ngan nilai ke­seluruhan sebanyak RM26,000.

Seorang anggota ATM, Staf Sarjan Mohd. Hafis Ramli berkata, dia mengiringi anaknya, Muhammad Faqrullah Haziq, 6, yang menerima sumbangan tersebut.

Staf Sarjan Hafis Ramli mengiringi anaknya, Muhammad Faqrullah Haziq yang menerima sumbangan bagi kategori pesakit saraf otak.

“Anak saya merupakan OKU yang menghidap penyakit saraf otak sejak bayi lagi.

“Saya bersyukur kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu membeli keperluan anak seperti lampin pakai buang dan dapat digunakan untuk kos pergerakan mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pe­nerima sumbangan, Puteri Aina Balqis Rosdi, 20, berkata, dia berasa terharu kerana masih mene­rima sumbangan daripada pihak MINDEF meskipun bapanya yang merupakan seorang veteran ATM sudah meninggal dunia.

“Saya sangat terharu kerana selepas bapa saya meninggal, sumba­ngan atau bantuan kepada kami anak-anak anggota ATM tidak putus.

“Sumbangan yang diterima ini dapat membantu saya membeli barang keperluan untuk menghadiri kuliah saya Universiti Tenaga Nasional,” katanya.

Puteri Aina Balqis Rosdi (tengah) menerima sumbangan Bantuan Kebajikan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi daripada Adly Zahari.

Selain itu, seorang Veteran ATM, Koperal Kairoman Abas (Bersara) berkata, dia amat berterima kasih atas sumbangan kerusi roda dan wang tunai yang diberikan kepada isterinya, Foudziah Noordin.

“Saya berasa terharu apabila menerima sumbangan tersebut. Terasa pengorbanan dan jasa semasa berkhidmat di ATM dihargai.

“Sumbangan kerusi roda yang diterima sangat membantu untuk kegunaan isteri yang sedang sakit,” katanya.

Isteri Veteran ATM, Koperal Kairoman Abas (Bersara), Foudziah Noordin menerima bantuan peralatan pesakit iaitu sebuah kerusi roda serta sumbangan wang.

Majlis berkenaan diteruskan dengan bacaan doa serta tahlil ringkas bagi memperingati pemergian Perdana Menteri Ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad ­Badawi yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Mendahului senarai penerima sumbangan berkenaan ialah 10 ahli keluarga anggota ATM atau anggota ATM yang menghidap penyakit kronik seperti kanser limfoma Hodgkin tahap tiga, sakit buah pinggang tahap empat, sakit jantung, kanser usus, serta kanser serviks dan kanser hidung.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan kepada penerima dan wakil-wakil penerima.

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI