PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk pengurusan tertinggi sebuah badan berkanun kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan kerja penyelenggaraan sungai di Kedah.
Menurut sumber, suspek terdiri dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan kira-kira pukul 6 petang Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di SPRM Kedah.
Susulan penahanan itu, Mahkamah Majistret Alor Setar mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga 17 April ini.
“Suspek utama yang merupakan timbalan ketua eksekutif dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019.
“Suspek disyaki menerima sejumlah wang rasuah melalui akaun syarikat milik isterinya sebagai balasan kepada kelulusan kerja-kerja penyelenggaraan sungai di sebuah daerah di negeri Kedah,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE