SEJAK ditubuhkan dua tahun lalu, kejohanan bertaraf pembangunan buat pemain-pemain simpanan yang dikenali sebagai Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapat kritikan banyak pihak.
Pada awalnya, kejohanan bawah 23 (B-23) ini dicipta dengan misi untuk memberi ruang dan peluang buat pemain-pemain muda tempatan bagi mendapatkan minit permainan yang lebih kompetitif sekali gus siap untuk diserapkan dalam skuad utama.
Namun, MFL selaku pengelola Liga Malaysia (Liga M) akhirnya memansuhkan saingan Piala MFL atas dasar tidak relevan.
Menurut kenyataan MFL bulan lalu, pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik hingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.
Pendekatan MFL dianggap tepat kerana pemain-pemain B-23 sepatutnya sudah bersedia untuk bersaing dengan pemain senior dalam skuad utama mana-mana pasukan.
Cuma, yang menjadi persoalan di manakah hala tuju pemain-pemain muda ini jika tidak dikekalkan dalam skuad utama pada musim depan?
Mungkin kelab yang berpengaruh seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC yang memiliki lambakan pemain B-23 kerana sudah terikat kontrak jangka panjang akan meminjamkan ‘ubi muda’ mereka ke pasukan Liga M lain.
Namun, nasib kelab-kelab ‘sederhana mewah’ hingga yang bergelut dengan masalah gaji, pasti sukar untuk menawarkan kontrak baharu buat pemain-pemain muda ini.
Pengarah Teknikal Sabah FC, Scott Olleranshaw berharap semua atlet bola sepak remaja negara mengambil pendekatan terbuka jika mahu kekal menjadi pemain profesional.
Olleranshaw berkata, ‘ubi muda’ ini tidak boleh hanya berharap kepada kejohanan Piala MFL, sebaliknya perlu mencongak langkah untuk cuba menembusi mana-mana kelab.
“Mereka perlu lebih kreatif untuk cari peluang, jangan hanya menunggu peluang itu sampai tanpa berbuat apa-apa.
“Mereka perlu bermula di sesuatu tempat dan kalau perlu di divisyen yang lebih bawah, ambil sahaja peluang itu.
“Jangan malas untuk buat rangkaian dan berhubung rapat dengan mana-mana kelab untuk membuktikan kualiti yang ada dan saya percaya jika mereka benar ada kualiti, pasti akan diserap masuk,” katanya.
Bekas pemain legenda skuad kebangsaan era 1970-an, Reduan Abdullah berpandangan, pemansuhan Piala MFL membuka peluang untuk mengkaji dan merangka semula bola sepak peringkat akar umbi di Malaysia.
Katanya, mungkin fokus selepas ini untuk memberikan penekanan kepada program pembangunan yang lebih dinamik di peringkat akademi di setiap negeri.
“Pembangunan bola sepak sangat penting di mana-mana negara kerana pemain-pemain ini masa depan skuad kebangsaan. Sekurang-kurangnya mereka kena ada 30 ke 40 perlawanan setahun.
“Kalau boleh kita nak lihat pemain-pemain ini dapat pergi ke peringkat seterusnya (profesional). Sampai bila kita nak harapkan pemain warisan atau naturalisasi untuk bersama skuad kebangsaan.
“Justeru, saya harap program pembangunan dalam AMD (Akademi Mokhtar Dahari), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dan Sekolah Sukan Malaysia dapat diperbaiki lagi selepas ini,” katanya.














