fbpx

Jangan ‘pinjam’ duit raya anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tersenyum girang anak-anak remaja memegang sampul raya selepas pulang menghadiri majlis rumah terbuka sambil berbincang mengenai jumlah kutipan duit raya masing-masing.

Ada yang merancang untuk membeli kasut, baju dan ada juga mahu terus menyimpan sehingga tabungannya mencukupi bagi membeli telefon pintar khususnya iPhone yang sentiasa digilai oleh anak-anak remaja.

Hari raya adalah masa terbaik untuk anak-anak ini mengumpul duit sendiri dan berbelanja tapi ada juga yang menyerahkan duit raya kepada ibu bapa untuk menyimpan dengan lebih selamat, sama ada didepositkan terus ke dalam akaun simpanan atau ‘dipinjam’ untuk mengisi tabung perbelanjaan selepas raya.

Bagi ibu bapa yang berdisiplin dan suka menabung, ini adalah masa yang terbaik untuk menggalakkan anak-anak mereka menyimpan dan menambah tabungan sedia ada, namun bagi keluarga yang sedang berdepan dengan masalah kewangan, ibu bapa ini terpaksa menggunakan perkataan ‘pinjam’ duit anak-anak untuk membiayai keperluan kewangan demi kelangsungan hidup sebelum gaji akhir bulan.

Menghitung hari dengan wang cukup cukup makan selepas balik kampung berhari raya, pastinya duit raya anak-anak akan jadi mangsa untuk membeli keperluan barangan dapur, duit minyak kenderaan dan pelbagai lagi.

Bagi yang memiliki kedudukan kewangan yang kukuh, pastinya ibu bapa akan membuat pilihan yang bijak dengan menyimpan duit raya itu di dalam simpanan Tabung Haji yang kadar pulangan adalah sekitar tiga peratus setahun.

Lebih menarik jika wang simpanan mencecah sehingga RM1,300, anak mereka itu sudah layak didaftarkan untuk menjadi calon jemaah haji apabila dewasa nanti.

Pilihan terbaik juga adalah menabung dalam Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang hanya memerlukan deposit serendah RM10 dan adalah antara tabungan popular dalam kalangan bumiputera yang menawarkan kadar agihan pendapatan yang stabil setiap tahun.

Selain itu, melalui produk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) juga boleh dijadikan pilihan terbaik sebagai persediaan untuk pelan pembelajaran anak-anak pada masa depan.

Lebih menarik, ia menawarkan pelbagai cabutan bertuah dan hadiah lumayan kepada penyimpan yang bertuah.

Ibu bapa juga boleh menyimpan duit dalam Sijil Simpanan Premium oleh Bank Simpanan Nasional dan membolehkan mereka memenangi pelbagai hadiah menarik berupa kereta mewah dan rumah serta wang tunai kepada pelanggan yang bertuah.

Pelbagai portfolio tabungan ditawarkan kepada masyarakat masa kini dan kebanyakan juga mudah dilaksanakan melalui online sahaja.

Terpulang kepada ibu bapa untuk mendidik diri dan juga anak-anak mereka menyimpan duit simpanan bukan sahaja daripada duit raya tetapi juga simpanan bulanan untuk keperluan masa depan serta masa kecemasan.

Selain itu, bagi memudahkan perbelanjaan hari raya tahun depan, adalah lebih baik ibu bapa juga mula menyimpan mulai hujung bulan April ini bagi mengisi tabungan keluarga agar bajet balik kampung, persiapan beli baju baharu, lemang, kuih raya dan membeli keperluan lain dapat disediakan dengan sebaiknya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN