GADIS berusia 21 tahun ini tidak pernah menyangka bahawa dirinya mampu melangkah sejauh ini.
Bagi Che Zur’ainsya Che Zaki, dia selalu merasakan dirinya hanya insan biasa dan tidak sehebat rakan sebayanya.
“Saya selalu rasa apa yang saya buat tidak cukup baik.
“Bila tengok orang lain berjaya, saya akan bandingkan diri sendiri dan rasa macam tidak setanding mereka,” katanya memulakan perbualan bersama K-Kampus.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik kelahiran Gombak, Selangor itu, dia pernah merasa terperangkap dalam bayangan kelemahan seolah-olah setiap langkahnya terbatas dek keraguan yang menghantui.
Titik perubahan berlaku ketika Che Zur’ainsya berada di tingkatan lima apabila keputusan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan.
“Saya sedar, perasaan ragu dan kurang yakin akan diri sendiri tidak membawa saya ke mana.
“Dengan semangat baharu, saya menggandakan usaha dan ternyata penat lelah berbaloi apabila berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM, sekali gus menjadi pelajar terbaik di sekolah,” katanya.
Keputusan cemerlang dalam SPM menjadi tiket bagi Che Zur’ainsya melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM).

Berkat dorongan dan semangat yang tidak pudar, dia seterusnya berjaya mendapat tempat di Fakulti Farmasi UM bagi menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Namun, cabaran di peringkat universiti membuka kisah yang berbeza.
“Tahun pertama di universiti sangat mencabar. Saya rasa seperti seekor ikan kecil di lautan yang luas dan tiada hala tuju.
“Pada tahun kedua pengajian, saya mula melibatkan diri dalam aktiviti di universiti dan mula mencabar diri.
“Kepercayaan rakan-rakan sekelas melantik saya sebagai wakil batch di Fakulti Farmasi menjadi menjadi batu loncatan untuk saya terus mara ke hadapan.
“Pada mulanya, saya takut gagal. Tetapi saya belajar bahawa kegagalan itu sebenarnya sebahagian daripada proses untuk belajar,” ujarnya yang menerima anugerah dekan baru-baru ini.
Di sebalik jadual akademik yang padat, Che Zur’ainsya tidak melupakan hobi istimewanya iaitu fotografi.
Jelasnya, minat tersebut mula berputik dengan kamera Digital Single Lens Reflex (DSLR) milik ayahnya yang digunakan untuk merakam gambar bagi majalah sekolah dan program keluarga.
Kini, hobi tersebut berkembang menjadi sebuah medium untuk dia mengabadikan pelbagai momen bermakna di universiti.

“Fotografi bagi saya sebagai satu ruang untuk bercerita tanpa kata-kata.
“Ia mengajar saya untuk menghargai setiap inci momen dalam hidup,” katanya yang turut memegang tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Tindakan Kolej Kediaman Ibnu Sina yang turut terlibat dalam pelbagai program pembangunan pelajar.
Menutup perbualan, Che Zur’ainsya yang mengimpikan kerjaya sebagai ahli farmasi sejak kecil berhasrat memberi manfaat kepada masyarakat menerusi kerjaya profesionalnya itu nanti.
Baginya, mencari keyakinan diri dalam hidup seperti dilaluinya bukanlah satu perkara yang mudah selain memerlukan usaha, kesabaran dan keberanian.
Che Zur’ainsya percaya setiap kejayaan yang diraih bukanlah secara kebetulan, tetapi lahir daripada kerja keras, pengorbanan dan minat yang mendalam terhadap apa yang dilakukan.














