Bagi sesetengah orang, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sebahagian daripada keluarga yang turut terlibat dalam pelbagai momen penting kehidupan.
Antara momen tersebut termasuk mempersiap si bulus kesayangan dengan pakaian yang sedondon ahli keluarga pada pagi Aidilfitri.
Begitulah rutin pemilik kucing, Siti Rafidah Selamat apabila mempersiapkan dua kucing kesayangannya dengan baju sedondon berwarna merah pada raya kali ini.
Kucing jantan baka Golden British Shorthair bernama Adeq Aqeel digayakan dengan baju Melayu lengkap bersamping dan tanjak.
Sementara itu, kucing betina baka campuran Munchkin Kinkalow bernama Adeq Asha pula didandani dengan baju kurung beserta rantai dan reben kepala.
Lebih menarik, wanita berusia 49 tahun itu akan membeli pakaian raya kucing-kucingnya terlebih dahulu sebelum mencari pakaian raya buat dirinya.
Kongsi Siti Rafidah, membeli pakaian untuk kucing bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara dalam talian.
“Saya pernah berdepan dengan cabaran mendapatkan saiz yang sesuai kerana saiz yang dijual di kedai tidak memiliki standard tetap.
“Jika pakaian yang dibeli terlalu besar, saya perlu mengubah suai pakaian tersebut agar sesuai dengan saiznya.
“Kadangkala saya beli pakaian kanak-kanak untuk mendapatkan variasi yang berbeza dan ubah suainya menjadi mesra kucing,” katanya yang sudah tiga tahun berturut-turut beraya sedondon dengan kucingnya kepada CitaRasa.
Secara keseluruhan, kedua-dua kucingnya memiliki lebih kurang 20 pasang pakaian raya beserta perhiasan sampingan bagi melengkapkan sesuatu gaya tersebut.
Tradisi berbaju raya sedondon bersama kucing yang diamalkannya sememangnya menarik perhatian saudara-mara dan rakan-rakan.
Ramai yang teruja dan tidak menyangka bahawa kucing juga boleh diajar untuk memakai pakaian serta kelihatan selesa dengannya.
Walaupun kucing-kucingnya hanya memakai busana dalam tempoh yang singkat, Siti Rafidah tetap berpuas hati dapat menggayakan haiwan itu.
“Secara semula jadi, kucing tidak memakai pakaian. Sebab itu, ia rasa pelik sekiranya kita terus memakaikan pakaian kepadanya.
“Nasihat saya, pada tahun pertama cuba pakaikan kucing anda dengan pakaian yang ringkas dulu. Lama-kelamaan, haiwan itu akan menyesuaikan diri sebelum kita menambah aksesori.
“Walaupun pakaian itu tidak lama melekat di badan, saya tetap puas hati apabila sempat bergambar sebagai kenangan pada pagi raya,” katanya.
Tradisi sama diamalkan keluarga pemilik dua kucing tempatan bernama Asyimba dan Awaenggg yang mengutamakan pakaian kucing-kucing mereka terlebih dahulu.

Setelah menjumpai pakaian kucing yang memikat hati, barulah ahli keluarga lain menjadikan warna baju kucing sebagai rujukan warna tema tahun tersebut.
Menurut pemilik Asyimba dan Awaenggg, Liyana Suhaimi, pemilihan baju raya kucing dibuat dengan mengambil kira saiz badan haiwan itu.
“Biasanya, kucing jantan memakai saiz lebih besar seperti L, manakala betina lebih sesuai dengan saiz M.
“Setakat ini, kucing kami sudah ada empat helai baju dalam koleksi rayanya, termasuk baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok,” katanya.
Setiap kucing memiliki personaliti tersendiri yang pasti mencuit hati setiap kali dipakaikan pakaian tradisi Melayu.
Asyimba, si kucing oren yang penuh dengan aksi drama, sering menunjukkan rasa tidak selesa dengan baju raya hingga berusaha menanggalkannya sendiri.
Sebaliknya, Awaenggg kelihatan tenang dan lebih mudah memberikan kerjasama, seakan-akan tidak terkesan dengan pemakaian baju tersebut.
Paling menarik, Asyimba dan Awaenggg turut terlibat dengan sesi penggambaran pagi raya bersama keseluruhan ahli keluarga mereka.
Kongsi wanita berusia 25 tahun tersebut, kucing-kucing mereka juga akan dibawa ke kedai gambar untuk merakam detik manis mereka sekeluarga.
“Momen paling menyeronokkan ialah ketika sesi penggambaran pagi raya kerana bukan mudah nak bergambar dengan kucing-kucing ini.
“Tetapi kami gembira apabila haiwan kesayangan ini turut berada dalam gambar kami sekeluarga kerana kucing-kucing ini juga sudah dianggap sebahagian daripada ahli keluarga kami,” ujarnya.
Seiring dengan peningkatan trend berpakaian sedondon bersama kucing, permintaan terhadap penjualan pakaian kucing semakin meningkat saban tahun.
Pemilik kucing gemar berkongsi gambar dan video kucing mereka mengenakan pakaian raya yang secara tidak langsung mempopularkan trend ini.
Perkara itu didedahkan Pengarah Cats Hometown Pet Shop, Isyarina Ishak yang mengakui trend itu mula melonjak sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Kami ada mengeluarkan koleksi baju kurung, baju Melayu, kurta dan baju kebaya. Konsep yang kami gunakan adalah songket dan cotton batik.
“Kebanyakan pemilik kucing mahu sedondon dengan kucing mereka. Jadi, ada yang kecewa sekiranya tiada warna dan saiz yang dicari.
“Oleh itu, kami menitikberatkan populariti warna tahun-tahun tersebut bagi menampung permintaan tersebut,” katanya.
Senada dengan Isyarina, pengasas Si Bulus My, Suzliani Rahim, turut mengakui terdapat peningkatan terhadap permintaan baju raya kucing.
Buktinya, pada tahun 2022, Si Bulus My hanya menjual 600 helai baju raya kucing, manakala pada tahun 2025, jualan mereka mencecah 8,000 helai di dalam dan luar talian.
Jelasnya, cabaran utama adalah memastikan pilihan saiz disediakan mencukupi untuk setiap jenis baka kucing supaya baju raya yang dipakai itu tampak kemas dan padan ukurannya.
“Rekaan yang dihasilkan mengikuti trend terkini, serta bahan pakaian yang digunakan juga adalah bahan premium sama seperti yang digunakan untuk menghasilkan baju manusia.
“Sebagai contoh, koleksi Istanbulus kami diterbangkan khas dari Istanbul, Turkiye. Samping yang digunakan dalam koleksi ini merupakan samping asli tenun tangan dari Terengganu.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas diterima, mereka berpuas hati dan gembira dapat beraya sedondon bersama kucing mereka,” katanya.














