GEORGE TOWN – Hukum individu memberi duit raya hasil daripada wang pinjaman atau berhutang dengan mana-mana agensi mahupun perseorangan disifatkan sebagai makruh dan tidak digalakkan dalam Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, berhutang dalam Islam pada asalnya adalah harus jika ada keperluan.
Namun katanya, perkara itu menjadi makruh atau haram jika dilakukan semata-mata untuk berbelanja mewah atau bermegah-megah.
“Rasulullah SAW bersabda: ‘Seseorang Muslim tetap dalam ikatan dosanya (belum terlepas) jika dia mati dalam keadaan berhutang’ (hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi).
“Beri duit raya adalah amalan sunat dan budaya baik, tetapi ia bukan satu kewajipan. Jika seseorang berhutang hanya untuk memenuhi budaya ini tanpa keperluan yang mendesak, hukumnya menjadi makruh.
“Lebih-lebih lagi, jika pinjaman itu melibatkan riba, hukumnya menjadi haram. Oleh itu, utamakan keperluan keluarga sendiri berbanding memberi kepada orang lain jika kita perlu berhutang untuk melakukannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jelas beliau lagi, mereka yang berhutang dengan niat mulia tetapi di luar kemampuan juga boleh menyebabkan bebanan kewangan berpanjangan selepas Aidilfitri nanti.
“Hutang dari agensi kewangan pula, jika ada riba atau caj tinggi, boleh menjurus kepada dosa riba. Ini amat dilarang keras dalam Islam.
“Islam mengajar kita sederhana dalam berbelanja (wasatiyyah) dan tidak membazir. Memberi duit raya itu baik, tapi jika sampai berhutang dan membebankan diri, ia bertentangan dengan prinsip pengurusan kewangan Islam,” ujarnya.
Justeru, katanya lagi, pemberian duit raya perlulah mengikut kemampuan diri sendiri dan tidak perlu dipaksa untuk melakukannya.
“Duit raya bukan penentu kemeriahan Aidilfitri, sebaliknya kasih sayang, ziarah dan ukhuwah lebih bermakna. Didik anak-anak dan saudara-mara bahawa Aidilfitri adalah hari kemenangan ibadah, bukan soal duit semata-mata,” ujarnya.














