fbpx
Yusuff memberi makan kerbau-kerbaunya yang dijaga dalam ladang miliknya di Kampung Bukit Cempedak di Maran baru-baru ini.

Jual 10 ekor kerbau nak balik jumpa bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Seorang warga emas nekad untuk bersama anak dan isterinya di Bandung, Indonesia pada hujung Ramadan ini, selepas empat tahun berpisah akibat pandemik Covid-19.

Yusuff Mat Isa, 67, yang dikenali sebagai Idris Kerbau telah menjual 10 ekor kerbau miliknya demi bersama isteri untuk berhari raya bersama selama dua minggu di Indonesia.

Idris anak jati Kampung Bukit Cempedak, Maran berkata, pada masa ini dia telah menjual 10 ekor kerbau bagi membiayai perjalanannya ke Indonesia dan dijadual berada di Bandung selama dua minggu.

“Saya sudah empat tahun tidak pulang ke sana sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2021. Setiap bulan, saya tetap kirim nafkah RM300 kepada isteri dan anak-anak di sana.

“Tetapi rindu pada keluarga semakin membara, lebih-lebih lagi Ramadan akan berakhir. Saya mahu berbuka dan bersahur bersama mereka,” katanya di sini semalam.

Menceritakan pertemuan de­ngan isterinya, Yudistar Marcos, 40, dia memberitahu ia bukan dirancang kerana mereka bertemu secara tidak sengaja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu, ketika Yudistar melarikan diri daripada cengkaman sindiket pemerdagangan manusia.

“Saya mendapat tahu dia diperdaya oleh sindiket yang memperdagangkan wanita dan saya bersimpati dengan nasibnya dan membantu dia keluar daripada kancah tersebut.

“Dari situ kami semakin rapat dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menikahinya di Bandung,” katanya yang dikurniakan dua orang anak kembar lelaki iaitu Yasak dan Yasit.

Namun, katanya ujian berat menimpa apabila anak sulung mereka, Yasak, meninggal dunia ketika menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir dan hanya tinggal Yasit, 23, yang bekerja kapal.

Dalam pada itu Yusuff berkata, dia juga telah membeli ratusan hektar tanah sawah di Bandung yang diuruskan isterinya dengan mengupah kira-kira 18 pekerja tempatan.

“Saya berharap kepulangan ke Bandung nanti dapat mengukuh­kan kembali hubungan dengan isteri dan anak selepas bertahun-tahun terpisah akibat pandemik dan komitmen kerja.

“Saya tidak mahu sekadar mendengar suara mereka di te­lefon atau melihat wajah mereka melalui video lagi, kali ini, saya mahu memeluk mereka sendiri dengan berpuasa dan beraya bersama,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN