Oleh NABILA NATASHA YUSMADIE dan FARISYA AKHTAR
PETALING JAYA – Berbaki seminggu lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, khidmat penghantar (runner) yang menyediakan bantuan menukar duit raya masih dicari orang ramai yang sibuk bekerja.
Kebanyakan runner pula pada mulanya sekadar ingin membantu memudahkan urusan, tidak menyangka kini memberikan pulangan yang agak lumayan.
Menurut seorang runner, Muhammad Khairi Raulah, 28, melalui perkhidmatan itu, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 dalam masa dua minggu.
Katanya, idea untuk menawarkan perkhidmatan ini timbul selepas menyedari ramai yang menghadapi kesukaran untuk menukar wang di bank disebabkan sibuk bekerja.
“Melihat ada permintaan tinggi, saya mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan servis tukar duit raya dengan caj RM10 bagi setiap pertukaran RM100.
“Berdasarkan purata pelanggan yang menukar antara RM300 sehingga RM500 dengan kadar upah sekitar RM30 hingga RM50, perkhidmatan ini mampu memberikan saya sehingga RM5,000 dalam masa tempoh dua minggu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, untuk melakukan perkhidmatan itu, dia perlu pergi ke beberapa bank untuk mendapatkan duit ‘kecil’ dan terpaksa beratur lama, terutamanya pada waktu puncak.
“Saya mula menukar duit lebih awal, biasanya dua minggu sebelum raya. Kalau pergi waktu pagi atau hari bekerja, orang tidak terlalu ramai dan proses menjadi lebih cepat.
Terdapat juga bank yang menyediakan kaunter khas, jadi tidak perlu mengambil nombor giliran yang panjang,” katanya.
Menurutnya, bagi mempromosi perkhidmatannya itu, dia mula aktif menggunakan dua platform media sosial iaitu di Facebook dan TikTok.

Seorang lagi runner, Haziq Omar, 30, berkata, dia mula menyediakan khidmat menukar duit raya sejak tahun 2018 sebagai satu kerja sambilan baginya.
“Servis tukar duit raya pada mulanya saya hanya menguar-uarkan kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat menerusi laman Facebook, namun permintaan semakin meningkat apabila ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini.
“Jumlah pelanggan paling ramai saya pernah dapat mencecah sehingga 20 orang untuk sehari dan paling minimum lima pelanggan.
“Rata-rata pelanggan saya terdiri daripada suri rumah dan juga mereka yang sibuk bekerja. Mereka biasanya tiada masa untuk ke bank untuk berurusan, jadi khidmat saya menjadi jalan penyelesaian bagi mereka,” katanya.
Salah seorang pelanggan, Amar Zafran Yazan, 23, berkata, dia telah tiga tahun menggunakan perkhidmatan runner untuk menukar duit raya.
“Ia amat memudahkan urusan memandangkan saya tidak perlu beratur panjang di bank, terutamanya pada saat-saat akhir sebelum hari raya.
“Saya biasanya bekerja lebih masa, jadi memang susah untuk menukar sendiri duit raya di bank. Melalui perkhidmatan ini, saya tak perlu bersusah payah dan duit boleh dihantar terus ke rumah.
“Baru-baru ini saya telah menggunakan perkhidmatan servis tukar duit raya sebanyak RM400 sebagai persiapan untuk Aidilfitri kali ini,” katanya.














