fbpx
CHE MOHD. IZWAN memiliki Sijil Seni Kulinari dan Sijil Rekabentuk Dalaman.

K2

Curah ilmu kulinari, hiasan dalaman kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT dalam bidang kulinari selain memasang impian membuka bisnes sendiri sejak di bangku sekolah membuatkan Che Mohd. Izwan Che Hassan menyusun langkah untuk mencapai impiannya.

 Usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak kelahiran Kelantan ini nekad memilih menyambung pengajian dalam bidang kulinari dan masakan.

Menurutnya, dia memilih meneruskan pengajian di sebuah institut kemahiran milik kerajaan di selatan tanah air bagi mendapatkan kelulusan dan kelayakan profesional.

“Saya mengambil masa setahun melengkapkan pengajian Sijil Seni Kulinari.

“Selepas itu, ketika di usia 20 tahun saya mengambil keputusan untuk bekerja di sebuah kilang elektronik di Johor Bahru, Johor bagi menimba pengalaman,” katanya.

PERCUBAAN kedua Che Mohd. Izwan dimulakan dengan menjual makanan menggunakan trak
di Pantai Jerjak, Pulau Pinang.

Meneruskan perkongsian, anak bongsu daripada tujuh beradik yang berusia 43 tahun itu berkata, sepanjang lima tahun bekerja sebagai operator gudang, dia berjaya mengumpul sejumlah wang.

Jelasnya, duit hasil titik peluhnya itu disimpan setiap bulan seterusnya dijadikan modal permulaan perniagaan membuka restoran miliknya.

“Alhamdulillah, pada 2003 berbekalkan modal yang ada, saya berjaya membuka sebuah restoran masakan panas di Pasir Gudang, Johor.

“Ketika itu saya gunakan semula semua ilmu seni kulinari yang dipelajari untuk membangunkan perusahaan ini.

“Saya bersyukur walaupun baharu beroperasi, ia diterima baik pelanggan dan mendapat reaksi positif dari pelbagai sudut terutama dari segi servis dan kualiti menu,” ujarnya.

Cuma sayangnya disebabkan persaingan terlalu sengit ia hanya bertahan tidak sampai tiga tahun.

“Saya juga akui ilmu kulinari yang dimiliki tidak cukup. Saya sedar perlu belajar dan gali banyak lagi ilmu berkaitan perniagaan selain menambah pengalaman dalam bidang diceburi.

“Oleh itu, saya nekad berhijrah ke Pulau Pinang membantu menguruskan perniagaan abangnya bermula 2006,” tuturnya.

Maka bermulalah perjalanannya mencari ilmu dan mengumpul sebanyak mungkin pengalaman dalam perniagaan kuah rojak berjenama Masdina.

Jelasnya, ketika itu abangnya memberi kepercayaan penuh kepadanya sebagai pengurus syarikat bagi menjalankan pelbagai kerja seperti operasi dan pemasaran.

Akui Che Mohd. Izwan, sepanjang 11 tahun bekerja membantu abangnya, dia mula terfikir untuk kembali berniaga dan mengoperasikan semula bisnes makanannya.

“Saya nekad berhenti membantu perniagaan abang kerana melihat dia sudah stabil menguruskan syarikatnya sendiri.

“Pada masa sama saya ingin mencuba sekali lagi perniagaan berasaskan masakan panas yang pernah saya usahakan sebelum ini,” katanya.

RESTORAN Abe Weayy Nasi Kukus dan Tomyam kini mempunyai dua cawangan.

Berbekalkan pengalaman yang ada, dia mula membeli sebuah trak makanan berkapasiti satu tan sebagai langkah awal. 

“Saya jalankan perniagaan di Tapak Penjaja Sementara di Pantai Jerjak, Pulau Pinang dan ia mendapat sambutan sangat baik.

“Selepas lima tahun berniaga menggunakan trak, saya mengambil keputusan membuka sebuah premis pada tahun 2021 berkonsepkan masakan ala Thai dan Pantai Timur menggunakan nama Restoran Abe Weayy Nasi Kukus dan Tomyam,” ceritanya.

Melihat kejayaan memberangsangkan, dia yang kini merupakan pengarah dan pengurus syarikat bersyukur percubaan keduanya membuahkan hasil.

Sepanjang hampir lapan tahun beroperasi dan kini mempunyai dua cawangan, dia tidak pernah berhenti mencari ilmu.

Buktinya, bapa kepada lima orang cahaya mata ini turut mengikuti kursus singkat beberapa tahun lalu dan mempunyai Sijil Rekabentuk Dalaman dari sebuah institusi kemahiran di Lembah Klang. 

Ia sekali lagi diaplikasikan bagi menyusun sendiri reka bentuk dan hiasan ruangan dalaman kedua-dua restoran miliknya itu berdasarkan apa yang dipelajarinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN