MENYERTAI lebih 50 misi kemanusiaan di dalam dan luar negara membuatkan nama Nurasyqin Mohd. Azaley Ismail, 23, tidak asing lagi dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan menerima pelbagai anugerah serta pengiktirafan.
Antaranya, Anugerah Rektor; Duta Perpaduan Selangor 2023, DUN Sungai Kandis (Majlis Perpaduan dan Integriti Selangor dan Architects of Diversity Malaysia) serta Anugerah Emas: Anugerah Pemimpin Program Kesukarelawanan Terbaik- Anugerah Bakat Majlis Perumahan Universiti Malaysia (MABMA) 22/23.
Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, dia mula aktif menyertai aktiviti kesukarelawanan sejak di tahun satu pengajian.
“Pada tahun kedua pula, saya sudah diberi kepercayaan untuk menyertai Misi Kemanusiaan Denyut Nadi Aceh 2023 yang mana program ini adalah inisiatif kolej kediaman saya dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia.
“Saya ke Aceh, Indonesia bersama enam rakan sukarelawan dengan diiringi Pengetua Kolej Kediaman Sumayyah untuk membantu kompleks sekolah pondok yang di dalamnya merangkumi sekolah rendah, menengah dan tadika bagi memberikan bantuan dari aspek pendidikan dan infrastruktur.
“Misi utama kami adalah untuk membantu membina tandas bagi sekolah rendah dalam kompleks pondok itu yang hanya ada satu tandas dan perlu dikongsi bersama 100 orang pelajar lain,” katanya yang merupakan bendahari dan penyelaras program untuk misi itu.

Ujarnya, dia dan pasukan berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000 dan menerusi sumbangan itu, sebanyak empat tandas serta tempat mengambil wuduk dapat disediakan.
Tidak terhenti di situ, pada tahun yang sama, dia turut menyertai misi selama 16 hari ke Pekan Lama, Kota Marudu, Sabah menerusi program Ini Warisan Kita: Misi Sukarelawan Siswa ke Sabah 2023.
Misi ini dianjurkan oleh Sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Perpaduan Negara Sukarelawan yang melibatkan 96 sukarelawan membabitkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian dan institusi pendidikan.
“Banyak yang saya belajar di sini seperti kemahiran berkomunikasi, penyelesaian masalah, bekerjasama dalam satu kumpulan serta memupuk semangat ikhlas dalam membantu masyarakat.
“Kami juga perlu mendalami budaya masyarakat setempat seperti perhiasan, tarian dan bahasa untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan. Dapatan kami sepanjang misi itu perlu dibentang kepada ahli lembaga pengarah YSS,” ujar anak kedua daripada empat adik-beradik itu.

Satu lagi misi penuh bermakna buat gadis manis ini iaitu menjadi wakil Malaysia ke United Nations Office On Drugs and Crime (UNODC) Youth Forum 2024 di Vienna, Austria.
Nurasyqin memberitahu, untuk melayakkan diri menjadi wakil Malaysia bukan mudah kerana calon perlu mengikuti sesi temu duga bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dan juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Alhamdulillah, saya berjaya dalam sesi temu duga itu dan menjadi satu-satu wakil Malaysia untuk ke forum tersebut bersama 35 orang peserta yang lain dari 27 negara.
“Sepanjang tiga hari di sana, kami melakukan pelbagai aktiviti berkaitan isu dadah dan remaja seperti bengkel, perbincangan, merangka polisi baharu serta memberikan idea-idea untuk menangani masalah ini,” katanya yang juga aktif dalam kerja kesukarelawanan bersama pertubuhan bukan kerajaan Higher Education Youth Association Malaysia (HEYA).
Meskipun sibuk dengan kerja-kerja kesukarelawanan, Nurasyqin bijak membahagikan masa sebagai pelajar. Sehubungan itu, dia menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain.
Kini, Nurasyqin dilantik sebagai Pelajar Koordinator di Pejabat Rektor untuk menggalakkan para mahasiswa aktif menyertai pelbagai program dan bukan sahaja tertumpu pembelajaran di dalam kelas.














