PETALING JAYA – Suasana di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) semakin meriah menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan ramai pembeli memilih membuat persiapan pada saat akhir bagi menikmati promosi dan diskaun besar-besaran.
Seorang pembeli yang mahu dikenali Athirah, 24, berkata, dia berkongsi pengalamannya membeli barang pada saat akhir yang lebih berbaloi berbanding pada awal bulan Ramadan.
“Saya selalu beli saat akhir sebab kalau beli awal bulan puasa, harganya lebih mahal dan kurang promosi.
“Saya pula kerja waktu siang, susah nak datang sini. Kalau hujung minggu, baru boleh beli-belah lama sikit sebab esok cuti dan tak risau balik lewat.
“Di sini memang tempat terbaik untuk cari keperluan raya dengan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad malam kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi pembeli, Tasnim, 26, tidak dapat menyembunyikan keterujaan kerana pertama kali berkunjung ke lokasi beli-belah tersebut.
“Walaupun saya lahir di Kuala Lumpur, ini pertama kali saya datang ke Jalan TAR untuk beli keperluan raya. Suasana malam memang berbeza dengan ramai orang, meriah dan banyak promosi.
“Tahun ni memang buat persiapan raya saat akhir, tapi asalkan dapat harga murah, okey je,” ujarnya.
Tidak ketinggalan, sepasang suami isteri berasal dari Sabah, Siti Al-bakiyah dan Edry, turut memilih membuat persiapan raya pada saat akhir sebelum pulang ke kampung minggu depan.
“Memang kami selalu beli barang raya saat akhir, sebab peniaga akan buat lelongan di sini. Membeli saat akhir suasananya memang lain, walaupun kalut dan penat, tapi puas hati sebab dapat harga murah,” ujar Siti Al-bakiyah.
Edry turut berpendapat bahawa membeli pada waktu malam lebih seronok berbanding siang, terutama menjelang hari raya.
“Alhamdulillah, seronok betul malam-malam macam ni. Kalau siang, kita panas, letih, dah lah puasa, memang tak ada rasa nak ronda lama-lama. Tapi malam, kita boleh lebih santai sambil cari barang,” katanya.
Tinjauan turut mendapati rata-rata peniaga di Bazar Aidilfitri Lorong TAR ini menyifatkan jualan pada hujung minggu lebih banyak kerana kunjungan orang ramai yang bertambah terutama pada waktu malam.














